Bumi adat perpatih, Negeri Sembilan, benar-benar bergolak dalam tempoh 24 jam ini. Di sebalik krisis takhta yang kian meruncing, landskap politik dan institusi adat negeri itu menyaksikan satu siri peristiwa luar biasa yang pasti akan terpahat dalam sejarah.
Segala-galanya memuncak hari ini apabila Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, secara rasminya ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 oleh Undang Yang Empat.

Ditabalkan Di Sebuah Resort Selepas Dihalang Polis
Menurut laporan Harian Metro, upacara pertabalan yang berlangsung dalam suasana ringkas namun penuh dramatik itu diadakan di sebuah resort lima bintang di Alor Gajah, Melaka. Pengisytiharan tersebut dilakukan oleh Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad, yang mewakili Undang Yang Empat.
“Bahawasanya selaras dengan Perkara 11 Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959, kami Yang Teramat Mulia Undang Yang Empat dengan kuasa yang ada pada kami berkenaan memilih dan memasyhurkan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12, berkuat kuasa serta-merta,” umum Undang Luak Jelebu.
Tunku Nadzaruddin kemudiannya menzahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih atas pemasyhuran tersebut yang turut disaksikan oleh tokoh politik veteran, Tan Sri Rais Yatim.
Bagaimanapun, peralihan lokasi upacara ke negeri jiran ini rupa-rupanya berpunca daripada satu insiden kekecohan yang berlaku beberapa jam sebelum itu di Tampin.
Artikel berkaitan: “Adat Bersendi Syarak, Syarak Bersendi Kitabullah” – Krisis Takhta Negeri Sembilan Bergolak, Siapa Sebenarnya Yang Berhak Menentukan?
Artikel berkaitan: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Benarkan Pelajar Sekolah Yang Terjejas Ribut Laksana PdPR
Ketegangan Di Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin
Awal pagi tadi, suasana di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin bertukar kecoh apabila Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang dijadualkan berlangsung di situ telah disekat oleh pihak berkuasa.
@sinarharianonlineKecoh, pembesar adat persoal tidak dibenar masuk Balai Kediaman Tunku Besar Tampin untuk Sidang Khas DKU Suasana di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin pagi ini bertukar tegang apabila pihak polis dilaporkan menutup pintu masuk utama bagi menghalang berlangsungnya Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta satu acara khas yang melibatkan jemputan kenamaan negeri. Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah yang tiba kemudiannya mempersoalkan arahan tersebut yang disifatkan memalukan institusi adat. #SinarHarian #60Saat #YangdiPertuanBesar #NegeriSembilan #Adat
♬ original sound – Sinar Harian – Sinar Harian
Kehadiran empat pembesar adat negeri dan lebih 100 datuk adat di pekarangan kediaman tersebut dihalang daripada memasuki premis, menyebabkan suasana menjadi tegang sebelum beralih ke lokasi alternatif di Melaka. Malah, beberapa pembesar adat lain dilaporkan terpaksa mengikuti upacara pertabalan di resort tersebut secara atas talian menerusi aplikasi Zoom.
DUN Negeri Sembilan Bubar Rasmi Hari Ini!
Seolah-olah melengkapkan tempoh 24 jam yang penuh debaran, kemelut adat ini berlaku serentak dengan pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang berkuat kuasa hari ini, Jumaat (5 Jun 2026).
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran tersebut bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz malam tadi.
Dengan pembubaran DUN dan pertabalan mengejut Tunku Nadzaruddin di resort luar negeri, rakyat Negeri Sembilan kini bukan sahaja berdepan dengan kehangatan musim pilihan raya, malah bakal menyaksikan krisis perlembagaan dan institusi diraja yang paling sengit dalam sejarah moden negeri itu.
PM Tegaskan Kerajaan Persekutuan Kekal Iktiraf Tuanku Muhriz
Membawa kepada perkembangan paling terbaharu dan paling utama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru sahaja tampil memberikan pendirian tegas Kerajaan Persekutuan sejurus selesai menunaikan solat Jumaat hari ini.
Beliau menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf dan akan terus berkhidmat kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berlandaskan saluran perundangan dan perlembagaan yang sah. Anwar turut mendedahkan bahawa pihak kerajaan sebenarnya sudah memberikan nasihat awal, namun pengisytiharan pertabalan di hotel tetap diteruskan oleh pihak berkenaan.
Beliau memberi amaran keras bahawa tindakan menggugurkan atau memakzulkan raja secara sebegini rupa boleh memberikan impak negatif yang sangat besar kepada keharmonian negara dan merosakkan kemuliaan institusi beraja.
“Krisis di Negeri Sembilan tentunya sedikit menggusarkan kerana institusi Raja ada peraturan, kaedah dan cara kemuliaannya. Jika digugat begini rupa, ia mesej yang sangat tidak baik,” tegasnya.
Sumber: Berita Harian (1)(2), Harian Metro, Utusan Malaysia

9 hours ago
10






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















