Drama Madu Atau Racun kini menjadi perhatian selepas penayangannya menerusi platform iQIYI dihentikan sementara susulan kontroversi membabitkan beberapa babak yang didakwa menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya.
Isu berkenaan bukan perkara baharu dalam industri hiburan tempatan. Sepanjang sejarah penapisan karya di Malaysia, terdapat beberapa filem yang pernah tidak diluluskan, diharamkan di lokasi tertentu atau terpaksa melalui pemotongan babak sebelum boleh ditayangkan.
Artikel berkaitan: “Tiada niat timbulkan sebarang kontroversi” – Isu Babak Songsang, Produksi Drama Madu Atau Racun Mohon Maaf
Artikel berkaitan: “Nak tunggu azab baru nak sedar?” – PU Amin Seru Boikot Drama & Filem Ada Unsur Budaya Songsang
Berikut 5 filem yang pernah berdepan larangan dan penapisan di Malaysia:
1. Dukun (2007)

Filem Dukun arahan Dain Said ini mengambil inspirasi daripada kes pembunuhan berprofil tinggi yang melibatkan Mona Fandey.
Filem yang sepatutnya ditayangkan pada tahun 2007 telah diharamkan Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) kerana jalan ceritanya yang didakwa penuh kontroversi serta menyinggung perasaan keluarga yang terlibat.
Walau bagaimanapun, filem lakonan Umie Aida ini akhirnya ditayangkan selepas lebih sedekad, pada 2018.
2. Banglasia (2014)

Filem arahan Namewee ini pada asalnya tidak diluluskan selepas LPF menemui 31 perkara yang perlu diberi perhatian, termasuk isu keselamatan negara, agensi kerajaan, politik dan unsur sosial.
Namun pengakhiran filem Banglasia ini ada happy ending-nya, apabila selepas beberapa perubahan, filem itu akhirnya mendapat kelulusan LPF pada 2019, kira-kira lima tahun selepas diharamkan.
3. Pulau (2023)

Pulau telah diharamkan daripada ditayangkan di pawagam di Terengganu susulan kontroversi berkaitan trailer dan adegan yang dianggap keterlaluan.
Menurut laporan Kosmo, Dewan Pemuda Pas Terengganu mempertahankan keputusan kerajaan negeri itu untuk mengharamkan tayangan filem Pulau yang sepatutnya ditayangkan pada 9 Mac 2023.
Susulan kontroversi tersebut, penerbit filem ini kemudian mendedahkan bahawa 10 babak telah dipotong dalam filem itu bagi mendapatkan klasifikasi PG13.
4. Daulat (2020)

Filem Daulat arahan Imran Sheik merupakan sebuah political thriller yang mengisahkan perebutan kuasa selepas sebuah parti politik tewas dalam pilihan raya. Namun, filem ini tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk tayangan di pawagam.
Pengarahnya menegaskan filem tersebut merupakan karya fiksyen dan telah menjalani penggambaran pada 2019, sebelum kemelut politik negara pada 2020. Selepas tidak diluluskan, Daulat ditayangkan menerusi platform penstriman iflix pada April 2020 tanpa potongan dan dilaporkan meraih sekitar 200,000 tontonan dalam tempoh dua hari.
Isu filem ini turut dibangkitkan di Dewan Rakyat pada 2021, apabila Daulat disenaraikan antara filem yang menerima keputusan Tidak Lulus Untuk Tayangan (TUT) daripada LPF.
5. Empat Filem Melayu Klasik

Empat filem Melayu klasik iaitu Gergasi (1958), Sumpah Wanita (1960), Anak Buluh Betung (1966) dan Semusim Di Neraka (1971) antara karya lama yang pernah berdepan larangan tayangan di Malaysia.
Keempat-empat filem tersebut dilaporkan diharamkan pada 2003 selepas kandungannya dinilai mempunyai unsur yang dianggap menyimpang daripada ajaran agama.
Larangan itu menjadikan karya-karya tersebut antara contoh filem Melayu klasik yang pernah terkesan dengan proses penapisan kandungan di Malaysia.
Daripada filem klasik sehinggalah karya moden, isu penapisan dan sensitiviti dalam industri hiburan Malaysia bukan perkara baharu.
Bezanya, kemunculan platform penstriman seperti iQIYI menjadikan persoalan tentang siapa yang bertanggungjawab menapis kandungan dan sejauh mana karya tempatan di platform OTT tertakluk kepada garis panduan sedia ada semakin mendapat perhatian.
Buat masa ini, Madu Atau Racun menjadi antara kes terbaharu apabila kandungannya dipersoalkan dan pihak FINAS meminta penayangan drama ini di platform iQIYI dihentikan sementara bagi melalui proses suntingan semula sebelum disiarkan kembali kepada umum.
Sumber: mStar, Arkib Negara, Kosmo

4 hours ago
7






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















