Gajah Sulong

Selepas beberapa minggu menjadi perhatian ramai kerana sering dilihat berkeliaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, gajah liar jantan yang dikenali sebagai Sulong Chalil kini akhirnya selamat dipindahkan ke habitat yang lebih sesuai.

Menurut PERHILITAN, Sulong telah dipindahkan ke Taman Negara Terengganu melalui pintu masuk Tasik Kenyir pada 2 September lalu (semalam).

Pemindahan dilakukan bagi mengurangkan risiko konflik antara hidupan liar dengan manusia serta mengelakkan kemungkinan kemalangan di jalan raya.

Video perpindahannya telah dimuat naik akaun Threads Square Kenyir House Boat, yang mana haiwan itu dilihat menaiki rumah bot sambil ditemani dua ekor gajah lain.

Sebelum ini, Sulong dilaporkan beberapa kali kembali ke JRTB walaupun telah digiring masuk ke kawasan hutan oleh pihak PERHILITAN. Gajah berkenaan turut mengalami kecederaan pada kaki hadapan sebelah kanan, namun keadaannya dilaporkan semakin pulih.

Artikel berkaitan: “Jaga diri baik-baik” – Gajah Sulong Tidak Lagi Merayau Di Jalan Raya, Dibawa Ke Lokasi Baharu

Artikel berkaitan: “Enggan terima rumah baru” – Kisah Gajah Sulong Tarik Perhatian Ramai, Dirakam Berjalan Sendirian Di Bahu Jalan

Operasi menangkap dibantu dua gajah denak

Operasi menangkap semula Sulong dilaporkan berjaya dijalankan pada 30 Ogos lalu sebelum proses pemindahan dimulakan.

Menariknya, operasi tersebut turut dibantu oleh dua ekor gajah denak, Rambai dan Cheri, bagi membantu memujuk Sulong menjalani proses pemindahan pada 1 September lepas.

Tb Gajah Sinar

Sulong turut menerima pemantauan serta rawatan veterinar sepanjang operasi dan rawatan susulan akan diteruskan berdasarkan keadaan kecederaannya.

PERHILITAN turut menjelaskan bahawa Sulong merupakan gajah jantan dewasa, justeru pergerakannya secara bersendirian adalah tingkah laku semula jadi bagi spesies tersebut.

Kini, Sulong berada di kawasan hutan semula jadi yang lebih sesuai untuk meneruskan kehidupannya.

Sumber: Threads, Astro Awani

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.