Setiap kali tibanya Hari Raya Aidiladha, ibadah korban pasti menjadi antara perkara utama yang dilakukan umat Islam di seluruh dunia.
Namun, masih ramai yang sebenarnya kurang tahu tentang beberapa fakta penting berkaitan ibadah ini. Aidiladha bukan sekadar tentang penyembelihan haiwan, tetapi turut membawa maksud pengorbanan, keikhlasan dan semangat berkongsi rezeki.
Berikut merupakan perincian mengenai ibadah korban yang ramai masih tak tahu:
1. Tak Semua Orang Wajib Buat Korban

Ramai menganggap setiap umat Islam wajib melakukan korban setiap kali Aidiladha.
Sebenarnya, ibadah korban hukumnya sunat muakkad iaitu amalan yang sangat digalakkan bagi mereka yang berkemampuan.
Walaupun tidak wajib, ibadah ini mempunyai ganjaran besar dan menjadi salah satu amalan penting ketika bulan Zulhijjah.
2. Seekor Lembu Boleh Dikongsi 7 Orang

Tidak semua haiwan korban hanya untuk seorang individu. Bagi lembu atau unta, ia boleh dibahagikan sehingga tujuh bahagian untuk tujuh orang peserta korban. Namun bagi kambing atau biri-biri, ia hanya untuk seorang sahaja.
Sebab itu ramai memilih untuk berkongsi bahagian lembu bersama keluarga atau rakan-rakan.
3. Daging Korban Ada Cara Pembahagiannya

Menurut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, daging korban sunat diagihkan kepada tiga bahagian yang utama:
- 1 per 3 untuk Fakir dan Miskin: Bahagian ini wajib diberikan (disedekahkan) kepada golongan asnaf fakir dan miskin.
- 1 per 3 untuk Peserta Korban dan Keluarga: Hak peserta dan ahli keluarganya untuk dimakan atau dinikmati (disunatkan makan sedikit sekadar mengambil berkat).
- 1 per 3 untuk Hadiah/Sedekah Umum: Diberikan kepada jiran tetangga, sahabat handai, atau golongan kaya.
Manakala bagi daging korban nazar (korban wajib):
- Disedekahkan Sepenuhnya: Kesemua daging, termasuk kulit dan anggota lain, wajib disedekahkan kepada fakir dan miskin.
- Haram Dimakan: Individu yang bernazar dan ahli tanggungan keluarganya haram memakan walau sedikit pun daging tersebut.
4. Orang Yang Nak Berkorban Digalakkan Tidak Potong Rambut Dan Kuku

Bagi mereka yang berniat untuk melakukan korban, terdapat amalan sunat yang sering terlepas pandang.
Apabila masuk 1 Zulhijjah, mereka digalakkan untuk tidak memotong rambut dan kuku sehinggalah haiwan korban selesai disembelih. Ia dilakukan sebagai tanda menghormati dan menghayati ibadah korban.
5. Aidiladha Bukan Sekadar Tentang Daging Korban

Di sebalik ibadah korban, pengajaran paling besar sebenarnya ialah tentang keikhlasan dan pengorbanan. Ia mengingatkan umat Islam kepada kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang sanggup berkorban demi mentaati perintah Allah.
Sebab itu Aidiladha bukan hanya tentang penyembelihan haiwan, tetapi juga tentang pengorbanan dalam kehidupan seharian demi keluarga, agama dan orang tersayang.
Sumber: BH

15 hours ago
13






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















