Sebanyak 2,000 peluang pekerjaan dengan tawaran gaji sehingga RM12,000 antara manfaat utama Festival Mega iLINDUNGu: KESUMA Bersama Rakyat di Strand Mall, Kota Damansara yang berlangsung sejak 18 September hingga 20 September ini.
Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramana Ramakrishnan berkata, menerusi MYFutureJobs, sebanyak 25 majikan menyertai festival berkenaan dengan menawarkan kira-kira 2,000 kekosongan pekerjaan, melibatkan tawaran gaji antara RM2,000 hingga RM12,000.
Beliau yang juga Presiden International Social Security Association (ISSA) berkata selain tawaran pekerjaan, sebanyak RM1.5 juta turut disumbangkan oleh penyedia platform ekonomi gig seperti Foodpanda Malaysia,Grab Malaysia dan Haloje Delivery bagi memperluas perlindungan keselamatan sosial pekerja sektor tersebut.
“Fokus kita jelas. Rakyat yang datang bukan sekadar mendapatkan maklumat, tetapi kita mahu mereka pulang dengan peluang pekerjaan, akses kepada perlindungan sosial dan penyelesaian yang boleh memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.
“Bagi mereka yang sedang mencari pekerjaan atau mahu meningkatkan kerjaya, rebut peluang ini. Kita membawa majikan dan peluang pekerjaan terus kepada rakyat,” katanya ketika merasmikan festival berkenaan.”
Bukan Sekadar Peluang Kerja, Pekerja Gig Turut Dapat Perlindungan

Selain itu, sebanyak RM48,000 disalurkan oleh Menteri Sumber Manusia menerusi LINDUNG Kasih Suri Rumah, sekali gus memperluas manfaat perlindungan kepada 400 penerima suri rumah.
Manakala, Foodpanda menyumbang RM1 juta, Grab RM500,000 dan Halo RM14,412.40, menjadikan keseluruhan sumbangan sebanyak RM1,514,412.40, yang akan memberi manfaat kepada 500 pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.
“Di sebalik setiap rider dan pemandu ada keluarga yang bergantung kepada pendapatan mereka. Sebab itu perlindungan sosial bukan perkara diambil ringan. Ia adalah jaringan keselamatan yang amat penting apabila berlaku sesuatu yang tidak dijangka.
“Kerjasama seperti ini menunjukkan bahawa kerajaan dan industri boleh bergerak bersama untuk memastikan pekerja gig bukan sahaja mempunyai peluang mencari pendapatan, tetapi turut mempunyai perlindungan.”
Festival Mega iLINDUNGu turut menyediakan kaunter khas Opt-In LINDUNG 24 Jam, membolehkan pekerja yang sebelum ini memilih untuk tidak meneruskan perlindungan berkenaan mendaftar semula secara terus sepanjang festival dari 18 hingga 20 September.
Majikan pula berpeluang menikmati diskaun sehingga 80 peratus bagi Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB), manakala pengunjung boleh membuat semakan caruman, mendapatkan khidmat nasihat berkaitan faedah serta mendaftar skim PERKESO.
Banyak Agensi Turun Padang, Semua Dalam Satu Tempat

Turut hadir Pengerusi Lembaga PERKESO, Dato’ Sri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Festival tersebut turut memperkukuh aspirasi KESUMA Bersama Rakyat dengan menghimpunkan 11 agensi dan jabatan lain di bawah KESUMA, termasuk Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Pendekatan bersepadu sebegini membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan akses secara langsung kepada perkhidmatan kerajaan di bawah satu bumbung.
“KESUMA Bersama Rakyat membawa satu mesej yang jelas, kita tidak mahu rakyat tercari-cari perkhidmatan kerajaan. Sebaliknya, kita yang perlu turun padang, mendekati mereka, mendengar suara mereka dan membawa penyelesaian terus ke tengah-tengah masyarakat.”
Perlindungan Bukan Hanya Ketika Kerja, PERKESO Terangkan Manfaat LINDUNG 24 Jam

Sementara itu, PERKESO berkata masih terdapat pekerja yang kurang memahami manfaat perlindungan LINDUNG 24 Jam, malah ada yang memilih untuk opt-out kerana menganggap mereka sudah mempunyai perlindungan insurans sendiri.
Menurut PERKESO, pekerja yang baru mula bekerja perlu membuat pilihan untuk opt-in atau opt-out dalam tempoh 30 hari selepas mula bekerja.
“Bila mula bekerja, dia belum pilih opt-in atau opt-out. Jadi dia kena buat pilihan dalam masa 30 hari dia bekerja.”
Bagi pekerja yang sebelum ini memilih untuk opt-out, mereka yang hadir ke booth PERKESO juga diberikan penerangan semula mengenai perlindungan dan manfaat yang tersedia sebelum digalakkan untuk mempertimbangkan opt-in semula.
Dalam pada itu, PERKESO berkata kewujudan insurans persendirian tidak semestinya bermakna pekerja perlu mengabaikan perlindungan keselamatan sosial yang disediakan.
Menurutnya, antara perbezaan yang boleh dilihat adalah dari segi caruman, apabila caruman PERKESO berkait dengan gaji pekerja dan dibuat melalui potongan gaji.

4 hours ago
3






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















