Ahmad Zahid Seru KKDW Beralih Kepada Budaya Kerja Berimpak & Akauntabiliti

15 hours ago 12

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu beralih daripada budaya kerja yang hanya menumpukan kepada pematuhan proses kepada budaya yang berasaskan impak dan akauntabiliti.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejayaan sesebuah organisasi tidak seharusnya diukur melalui jumlah mesyuarat atau pembentangan, sebaliknya melalui perubahan yang dapat dirasai rakyat.

Screenshot 2026 06 05 At 9.27.35 Am

Menurut beliau, pembangunan luar bandar juga tidak boleh lagi dilihat sebagai agenda kebajikan semata-mata, sebaliknya perlu dianggap sebagai agenda strategik negara kerana kemajuan desa menjadi asas kepada kestabilan dan keseimbangan pembangunan negara.

Beliau turut menggesa warga KKDW supaya bertindak lebih pantas, berani membuat keputusan serta jujur menilai kelemahan organisasi agar setiap dasar dan program yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat luar bandar.

Screenshot 2026 06 05 At 9.28.13 Am

Ahmad Zahid turut menggariskan enam disiplin utama yang perlu menjadi fokus KKDW iaitu aspek relevan, keberkesanan, kecekapan, impak, kemampanan dan kesepaduan.

Artikel berkaitan: KKDW Kukuhkan Pembangunan Desa: Kenduri Rakyat Desa MADANI Meriahkan Penutup Program Angkat di Lenggong

Artikel berkaitan: KKDW Merapatkan Jurang Desa-Bandar Melalui Tujuh Teras Infrastruktur

Beliau berkata pelbagai inisiatif di bawah KKDW telah menunjukkan hasil positif, termasuk pembinaan 1,800 kilometer Jalan Perhubungan Desa (JPD) di bawah RMK12 yang membuka akses kepada pendidikan, kesihatan, ekonomi dan peluang pekerjaan.

Selain itu, beliau turut memuji beberapa projek ekonomi desa seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) yang melaksanakan projek KETENGAH Food Valley, tanaman nanas komersial, ternakan ayam pedaging, kawasan tanaman kopi pertama di Kelantan oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) serta projek KEDA Food Valley oleh Lembaga Wilayah Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Screenshot 2026 06 05 At 9.46.12 Am

Dalam bidang pendidikan pula, beliau menghargai usaha Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) susulan peningkatan kemasukan pelajar Orang Asli ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Rancangan Persediaan Pendidikan Sarjana (RPPS), selain peranan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menerusi Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA), Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA), Smart Pra Tahfiz, Smart Classroom dan TABIKA Tunas Istimewa dalam generasi desa yang berilmu dan celik teknologi.

Sumber: BERNAMA

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |