Anak lelaki kepada vokalis kumpulan terkenal era 1990-an Izam EYE iaitu Muhammad Umar Al Faroq, 17, dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.
Berita duka itu dikongsikan Izam atau nama sebenarnya Mohd Izam Arshad menerusi laman Facebook pagi tadi.
“Doakan anak lelaki bongsu saya ni ya sahabat-sahabat semua. Dia terlibat dengan kemalangan jalan raya pukul 12 tengah malam tadi dan telah meninggal Dunia.
“Kini berada di Hospital Serdang, namanya Muhammad Umar Al Faroq bin Mohd Izam,” tulisnya.
Menurut Izam, kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam ketika Allahyarham Umar keluar menunggang motosikal untuk bertemu abangnya.
“Arwah keluar seorang diri hendak jumpa abangnya dan pergi minum. Saya berada di rumah ketika itu. Lebih kurang jam 12 tengah malam, saya dapat panggilan daripada anak yang beritahu Umar terbabit dalam kemalangan.
“Ketika itu, Umar dikatakan masih bernyawa. Namun, apabila saya tiba di lokasi, tangan dia sudah sejuk dan tidak lagi memberi sebarang tindak balas. Petugas ambulans kemudian mengesahkan arwah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Artikel berkaitan: Penghantar Makanan Maut Dirempuh Kereta Ketika Sedang Tunggu Lampu Isyarat Merah
Artikel berkaitan: Meninggal Dunia Selepas Terlibat Kemalangan, Netizen Sebak Lihat Perkongsian Arwah Siti Khazira Di Facebook
Bagaimanapun, Izam tidak memperincikan punca kemalangan atau apa yang berlaku ketika nahas itu.
Pada masa sama, Izam mengakui sukar menerima pemergian anak bongsunya itu kerana semuanya berlaku terlalu pantas. Namun, dia reda dengan ketentuan Ilahi dan percaya ajal maut adalah ketetapan Allah SWT.
Kata Izam, kali terakhir dia berkomunikasi dengan anaknya itu ketika Allahyarham membuat aiskrim bersama ibunya.
“Saya sedih kerana semuanya berlaku terlalu cepat. Saya sangka saya yang sakit ini akan pergi dahulu, rupanya dia yang mendahului saya. Itu yang paling menyentuh hati saya,” katanya.
Jenazah Allahyarham Umar kini berada di Hospital Serdang untuk bedah siasat sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn di sini, selepas solat Zohor, hari ini.
Sumber: Berita Harian

19 hours ago
4































:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















