Jaguh judo negara, Amir Daniel Abdul Majeed melakar kenangan manis apabila meletakkan namanya dalam lipatan sejarah sukan tanah air selepas meraih pingat emas pertama Malaysia menerusi acara judo di Sukan Komanwel Glasgow.
Kejayaan gilang-gemilang itu dilakar dalam kategori bawah 81 kilogram (kg) yang berlangsung di Scottish Event Campus (SEC), sekali gus menyaksikan bendera Jalur Gemilang berkibar megah di bumi Scotland.
Artikel berkaitan: “Terima kasih Sukan Komanwel” – Sharul Aimy Atlet Gimnastik Malaysia Sebak Gagal Genggam Pingat Selepas Tewas Melalui ‘Tie-Break’
Artikel berkaitan: Bawa ‘Sweater’ Arwah Ibu Ke Glasgow, Aznil Bidin Sebak Cipta Sejarah Hatrik Emas Sukan Komanwel
Kemenangan pingat emas bersejarah daripada atlet berusia 21 tahun itu bukan sahaja menamatkan penantian panjang skuad judo negara di temasya berkenaan, malah membuktikan potensi besar sukan berkenaan di peringkat antarabangsa.
Korban Masa Bersama Keluarga Demi Negara
Di sebalik kejayaan luar biasa tersebut, penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) itu mengakui terpaksa melalui pelbagai cabaran dan pengorbanan besar sepanjang tempoh persiapan.
Keseimbangan antara komitmen akademik serta disiplin latihan yang ketat menyebabkan Amir Daniel jarang berpeluang meluangkan masa berkualiti bersama ahli keluarga.
“Mungkin selepas ini saya boleh berehat selama seminggu dan meluangkan masa bersama keluarga. Pingat ini ditujukan khas untuk seluruh rakyat Malaysia.
Ini merupakan emas pertama judo negara di Sukan Komanwel dan nilainya sangat besar buat saya,” katanya.
Mengulas lanjut, Amir mendedahkan kejayaan tersebut menjadi bukti bahawa segala kesusahan dan pengorbanan yang dilaluinya tidak sia-sia.
“Segala pengorbanan, darah, keringat dan air mata akhirnya membuahkan hasil. Ia bukan sekadar pengorbanan masa dan kewangan, tetapi juga saat-saat penting bersama keluarga.
Latihan harian yang padat di samping tuntutan pengajian membuatkan saya langsung tiada masa untuk duduk berbual dan bertanya khabar ibu tentang harinya,” tambah beliau lagi.
Tumbangkan Lawan Berada Di Ranking Lebih Tinggi
Aksi pentas akhir memperlihatkan kehebatan Amir Daniel yang berada di kedudukan ke-117 dunia apabila berjaya menundukkan atlet Afrika Selatan, Timothy Meuwsen yang memegang status ranking ke-41 dunia.
Amir memastikan kemenangan berharga itu menerusi teknik kata-guruma yang membolehkannya meraih mata waza-ari dalam pertarungan sengit selama empat minit.
Lebih bermakna lagi, detik bersejarah itu turut disaksikan sendiri oleh ibunya, Yeoh Suatkhim, serta kakaknya, Nur Yasmeen, yang hadir memberikan sokongan padu dari tepi tatami.
Sebagai rekod, Amir Daniel sebelum ini pernah mencuri perhatian selepas menghadiahkan pingat gangsa dalam kategori bawah 73kg pada edisi Birmingham 2022 yang menjadi pingat julung kali Malaysia dalam acara judo di Sukan Komanwel.
Sumber: Kosmo!

17 hours ago
6































:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)

















