6Bomoh

Seorang wanita warga emas mengalami kerugian kira-kira RM15,000 selepas menjadi mangsa penipuan yang dipercayai dilakukan tiga wanita warga asing yang menyamar sebagai bomoh jalanan dalam kejadian di Pasar Besar Krokop, Miri, Sarawak.

Screenshot 2026 03 08 At 12.19.09 Pm

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 8 pagi pada 4 Mac lalu ketika mangsa yang berusia dalam lingkungan 60-an berada di kawasan pasar untuk membeli barangan dapur. Mangsa pada awalnya didatangi seorang wanita yang bertanya mengenai lokasi untuk mendapatkan halia merah kononnya bagi merawat suaminya yang sakit.

Tidak lama kemudian, dua lagi wanita muncul dan turut menyertai perbualan sebelum memujuk mangsa untuk berehat di dalam sebuah kereta yang diparkir di belakang pasar dengan alasan cuaca panas. Ketika berada di dalam kenderaan itu, salah seorang suspek mendakwa rumah mangsa mempunyai feng shui yang tidak baik serta dikatakan dipengaruhi unsur jahat yang boleh mendatangkan malapetaka kepada keluarga mangsa.

Bagi menghapuskan perkara tersebut, suspek mendakwa satu ritual khas perlu dilakukan dan meminta mangsa menyediakan beberapa barangan termasuk segenggam beras, barang kemas emas serta wang tunai. Mangsa yang mempercayai dakwaan itu pulang ke rumah sebelum menyerahkan barangan berkenaan kepada suspek, yang dianggarkan bernilai sekitar RM15,000.

Screenshot 2026 03 08 At 12.20.08 Pm

Semua barang tersebut dimasukkan ke dalam sebuah beg dan mangsa dimaklumkan bahawa beg berkenaan telah dijampi serta tidak boleh dibuka selama tiga hari. Namun apabila mangsa membuka beg itu dua hari kemudian, dia mendapati ia hanya berisi serbuk garam, dua botol air mineral kecil dan satu paket tisu, menyedari dirinya telah menjadi mangsa penipuan.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.