Siapa sangka, hantaran video bersahaja di media sosial yang disangka sekadar sindiran mesra rupanya menjadi muat naik terakhir seorang wanita sebelum nyawanya diragut dengan kejam.
Kisah tragis yang menimpa influencer berusia 43 tahun dari Oklahoma, Amerika Syarikat, iaitu Sara Gilson, kini menggemparkan media sosial. Tuduhan gangguan seksual, penderitaan keganasan rumah tangga yang panjang, hinggalah detik hitam tembakan maut, ini kronologi lengkap pendedahan berani yang berakhir dengan tragedi.
‘Dikawal’ Bertahun-tahun
Di sebalik watak ceria di media sosial, kehidupan Sara dalam diam sebenarnya diselubungi penderitaan. Menurut bekas suaminya, Lyle Landers yang juga bapa kepada dua anak Sara, wanita itu sudah lama terperangkap dalam hubungan toksik dan keganasan rumah tangga bersama suaminya, Jeremiah “Shawn” Duffey.
Artikel berkaitan: Daripada Pengasas Gojek Ke Kerusi Pesalah, Ini Kronologi Kes Rasuah Nadiem Makarim Yang Buat Ramai Terkedu
Artikel berkaitan: Kenali Vozinha, Penjaga Gol Cape Verde Berumur 40 Tahun Yang Berjaya Buat Sepanyol ‘Tersekat’

Rekod mahkamah menunjukkan Sara pernah memohon perintah perlindungan seawal tahun 2021 lagi, namun kes digugurkan selepas dia tidak hadir ke mahkamah, itu merupakan satu petanda biasa bagi mangsa yang berada di bawah kawalan psikologi pemangsa.
“Saya pernah merayu padanya selama lima tahun untuk melepaskan diri daripada lelaki itu, tapi dia seperti mempunyai satu kawalan ke atas Sara,” luah Lyle.
Rahsia Gelap Suami Terbongkar
Dalam laporan Guardian, awal Jun lalu, segalanya berubah apabila pihak Polis Owasso menerima laporan mengenai kelakuan tidak senonoh Duffey. Duffey, yang bekerja sebagai jurulatih bola keranjang difahamkan telah melakukan gangguan seksual terhadap seorang atlet remaja berusia 15 tahun selepas perbuatannya dikesan oleh seorang lagi jurulatih.
Siasatan polis mendapati Duffey bukan sahaja sering melakukan perbuatan hina tersebut di kawasan tersebut, malah dia juga pernah dilaporkan atas kesalahan sama di daerah-daerah lain.
Perintah Perlindungan & Dendam Si Suami
Terkedu selepas dimaklumkan oleh pihak polis mengenai jenayah suaminya, Sara bertindak demi keselamatan diri dan anak-anak. Hanya sehari selepas laporan dibuat, Sara mendaftar dan memperoleh Perintah Perlindungan Kecemasan (Emergency Protective Order).
Mahkamah mengarahkan Duffey keluar dari rumah dan berada sekurang-kurangnya 100 ela (91 meter) daripada Sara. Dalam permohonannya, Sara mendedahkan Duffey pernah mengugut untuk membunuh diri dan mempunyai pegangan senjata api. Sara dalam pada itu, turut memfailkan perceraian.
Operasi Memburu Yang Kerap Gagal
Sementara itu, polis cuba menangkap Duffey di sekolah tempat kejadian berlaku, namun dia sempat melarikan diri. Selama 24 jam berikutnya, pihak berkuasa merentas pelbagai daerah cuba menjejaki Duffey menggunakan phone tracker dan dron. Namun, Duffey seolah sentiasa ‘selangkah di hadapan’.

Niat untuk menangkapnya bertambah rumit apabila isu bidang kuasa undang-undang timbul. Memandangkan jenayah berlaku di tanah rizab (Cherokee land) dan Duffey merupakan puak Osage, kes itu terpaksa dirujuk ke Pejabat Peguam AS di Tulsa, memakan masa dari segi birokrasi.
‘Trend’ TikTok Berani Buka Pekong
Memikul beban emosi yang berat, Sara memuat naik sebuah video pendek di TikTok miliknya. Menggunakan format popular berserta teks yang mengatakan bagaimana dia sedang bersedia ditemu ramah pengarah dokumentari Netflix jika bakal bekas suaminya kantoi seorang pedofilia, video itu terus tular dengan jutaan tontonan.
@mrsgilsonI wish I was joking. #plottwist #netflix #documentary
Bagi pengguna media sosial, ia kelihatan seperti trend biasa. Namun bagi Sara, ia adalah jeritan terakhir untuk mendedahkan kebenaran kepada dunia.
Panggilan Kecemasan Dan Tragedi Berdarah
Perintah mahkamah ternyata tidak mampu menghalang kejamnya niat seorang pemangsa. Kurang dua minggu selepas video itu tular, Duffey memecah masuk ke rumah Sara.
Talian kecemasan 911 sempat merakam detik cemas apabila operator mendengar suara jeritan Sara disusuli bunyi tembakan. Anak lelaki Sara bertindak berani melepaskan diri dan berlari ke rumah jiran sebelum menelefon 911 untuk meminta bantuan.
Apabila polis tiba, kedua-dua Sara dan Duffey ditemui tidak bernyawa akibat kesan tembakan di kepala dalam kes yang diklasifikasikan sebagai murder-suicide (membunuh & bunuh diri).
Kes Sara Gilson meninggalkan persoalan besar tentang sejauh mana undang-undang mampu melindungi mangsa apabila si pelaku nekad bertindak ganas. Ia turut membongkar betapa rumitnya konflik keganasan rumah tangga yang sering tersembunyi di sebalik senyuman di media sosial.
Sumber: Guardian, Open Magazine, TikTok

12 hours ago
7






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















