Pulangkan Barang Sitaan Dbkl

Timbul dakwaan yang menuduh anggota penguat kuasa menerima suapan susulan tular video yang memaparkan pegawai bertugas memulangkan semula barangan sitaan kepada penjaja warga asing.

Menerusi video tersebut, insiden itu berlaku di Jalan Bukit Bintang pada 7 Jun kira-kira pada jam 8 malam.

Mengambil maklum mengenai dakwaan terbabit, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagaimanapun menafikan tuduhan terbabit dan menjelaskan perkara sebenar yang berlaku.

Menurutnya, penjaja tersebut adalah warga tempatan yang menjalankan aktiviti menjual jagung bakar tanpa lesen sah.

“Tindakan sitaan sudah diambil di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1) Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016, di mana petugas menyita peralatan utama perniagaan termasuk satu unit tong gas dan sebuah troli untuk dibawa ke stor sitaan,” katanya.

Artikel berkaitan: Tular Video Lelaki Tabik Hormat Struktur Mirip Bendera Bangladesh Di Bukit Bintang, DBKL Beri Respon

Artikel berkaitan: DBKL Sita Gerai Di Sekitar Dataran Merdeka, Minta Pengunjung Berhenti Beli Dari Penjaja Haram

Screenshot 2026 06 10 110309 Screenshot 2026 06 10 110328

Pulangkan jagung sebab mudah rosak

Dalam kenyataan tersebut, barangan yang dipulangkan itu sebenarnya bahan makanan mudah rosak iaitu jagung mentah.

Barangan itu dipulangkan mengikut budi bicara setelah penjaja tersebut merayu untuk mendapatkan semula bahan makanan tersebut.

Walaupun kotak makanan tersebut dipulangkan bersama amaran keras, tindakan undang-undang ke atas kelengkapan perniagaan yang lain tetap diteruskan secara tegas dan konsisten.

Dalam pada itu, DBKL menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah berkompromi dalam melaksanakan tanggungjawab demi memelihara kesejahteraan awam.

Sebagai bukti ketegasan penguatkuasaan, sebanyak 5 tindakan sitaan dan 4 notis kompaun telah dikeluarkan di kawasan sekitar pada hari yang sama, iaitu 7 Jun 2026.

Sehubungan dengan itu, DBKL memandang serius dan menolak sekeras-kerasnya tohmahan yang tidak berasas ini.

Sumber: Facebook

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.