Syaz Ft 2026 06 23T164637.709

Pemergian sepi seorang wanita luar biasa, Allahyarhamah Puan Hajjah Normah yang melangkah pergi pada 20 Jun 2026, meninggalkan legasi bakti yang tiada galang gantinya. Biarpun jasadnya sudah tiada, arwah yang dikenali sebagai seorang yang mendidik anak bangsa ketika hidupnya, terus menabur jasa yang tidak ternilai pada akhir nafasnya.

Komitmen mulia arwah yang sebelum ini telah berikrar sebagai penderma organ akhirnya berjaya ditunaikan dengan penuh amanah oleh anak-anak tercinta, selepas beliau diisytiharkan mengalami kematian otak.

Artikel berkaitan: Kecoh Dakwaan Hospital Segamat Bakal Ditutup 1 Julai Ini, JKNJ Tampil Beri Penjelasan

Artikel berkaitan: Hospital Tunku Azizah Keluar Kenyataan Isu Salah Laku & Penipuan Terhadap Pegawai Perubatan Siswazah

Pada 21 Jun 2026, hasrat murni tersebut akhirnya terlaksana dengan jayanya. Melalui anugerah kehidupan yang ditinggalkan ini, organ dan tisu yang didermakan oleh arwah bakal menyelamatkan serta mengubah jalan hidup sekurang-kurangnya lima orang pesakit yang memerlukan.

Lakaran Sejarah Baharu KKM & KPT

Kes pemerolehan organ ini bukan sahaja memberi sinar baharu kepada para pesakit, malah turut melakar sejarah baharu dalam jalinan kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Pihak pengurusan amat berbesar hati atas gandingan bahu bersama Pasukan Pembedahan Hepatobiliari dari Universiti Malaya (UM) yang sanggup turun padang demi memastikan usaha murni dan prosiding mencabar ini dapat dijayakan dengan sempurna.

Sambil melahirkan rasa kagum, sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada seluruh ahli keluarga penderma atas kurniaan yang tidak ternilai harganya ini. Semoga segala budi, jasa, serta pengorbanan suci arwah diangkat darjatnya di sisi Pencipta, selain ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan bersemadi dengan tenang di sana. Al-Fatihah.

Sekalung Penghargaan Kepada Barisan Pakar

Bagi menghargai komitmen dan profesionalisme tinggi semua pihak yang terlibat sepanjang menjayakan prosiding ini, penghargaan khas ditujukan kepada:

  • Pasukan Bedah Hepatobiliari (UM): Diketuai oleh Prof. Koh Peng Soon

  • Pasukan Bedah Urologi: Diketuai oleh Mr. Mohd Najib Aziz

  • Pasukan Bedah Plastik: Diketuai oleh Mr. Law Teck Ree

  • Pasukan Bedah Oftalmologi: Diketuai oleh Dr. Chandra

  • Pusat Sumber Transplan Nasional: Diwakili oleh Dr. Rabiatul

  • Unit Derma Organ dan Tisu Hospital Sungai Buloh: Diketuai oleh Dr. Natasha

Sumber: Facebook

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.