Sebut sahaja nama Erling Haaland, pasti ramai yang membayangkan bintang dunia yang meraih pendapatan lumayan di pentas kelab antarabangsa. Namun, apabila mewakili negara kelahirannya, Norway, ada satu kisah menarik di sebalik tabir yang jarang diketahui peminat bola sepak sejagat.
Menerusi satu perkongsian tular oleh seorang pengguna media sosial tempatan Norway, Trond Solberg (@trond_solberg71) di Threads, beliau mendedahkan satu fun fact mengenai struktur pembayaran gaji skuad kebangsaan negara berkenaan.
Artikel berkaitan: Erling Haaland Bantu Norway Belasah Israel 5-0 Dalam Aksi Kelayakan Piala Dunia
Artikel berkaitan: “Nak lawan England ni” – Skuad Norway Diserang Sakit Tekak & Demam Menjelang Suku Akhir Piala Dunia!
Skuad Lelaki Sanggup Potong Gaji Demi Skuad Wanita
Menurut perkongsian tersebut, pemain bintang seperti Erling Haaland dan seluruh anggota skuad bola sepak lelaki Norway sebenarnya menerima kadar bayaran yang sama rata dengan skuad bola sepak wanita negara itu.
Apa yang lebih mengagumkan, keputusan ini bukannya dibuat atas desakan pihak pengurusan persatuan bola sepak, sebaliknya hasil inisiatif dan pengorbanan para pemain itu sendiri!
Difahamkan, skuad lelaki negara itu secara sukarela bersetuju memotong gaji mereka pada tahun 2017 menerusi kesatuan pemain demi menaikkan kadar elaun dan gaji skuad wanita.
Pernah Gemparkan Media Antarabangsa
Kisah ini bukannya rekaan atau mitos media sosial semata-mata. Laporan media antarabangsa terkenal seperti CNN, The Guardian, dan Reuters pernah mengesahkan perjanjian bersejarah ini yang ditandatangani pada Oktober 2017 antara Persatuan Bola Sepak Norway (NFF) dan Kesatuan Pemain (NISO).
Menerusi perjanjian itu, para pemain lelaki Norway secara sukarela menyerahkan sebahagian daripada pendapatan hak komersial (commercial rights) mereka bernilai kira-kira 550,000 Norwegian Kroner (sekitar RM230,000+) kepada skuad wanita. Pengorbanan ini membolehkan jumlah peruntukan gaji skuad wanita melonjak hampir dua kali ganda daripada 3.1 juta Kroner kepada 6 juta Kroner!
Langkah ini sekali gus menjadikan Norway antara negara terawal di dunia yang merealisasikan ‘equal pay‘ secara rasmi dalam sukan bola sepak antarabangsa.
“Bukan Sekadar Slogan” – Kesaksamaan Hak Yang Sebenar
Tindakan proaktif ini membuktikan bahawa prinsip kesaksamaan di negara Nordik berkenaan bukannya sekadar omongan kosong atau kempen pemasaran semata-mata, sebaliknya diabadikan menerusi perundangan dan tindakan nyata.
Individu itu berkongsi kenyataan ‘Kesaksamaan Bukan Sekadar Slogan’ menggambarkan betapa maruah dan hak samarata diberi keutamaan tanpa sebarang paksaan.

15 hours ago
9






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















