Syaz Ft 11

Adakah anda rasa bahagia dengan kerjaya anda sekarang? Menurut dapatan terbaharu daripada Indeks Kebahagiaan Tempat Kerja oleh Jobstreet by SEEK, seramai 70% pekerja di Malaysia menyatakan bahawa mereka berasa bahagia atau sangat bahagia di tempat kerja.

Walaupun angka itu nampak positif, namun kajian yang melibatkan kira-kira 1,000 individu ini mendedahkan satu realiti yang agak membimbangkan di sebalik senyuman para pekerja.

Bahagia Tapi ‘Burnout’

Walaupun majoriti pekerja rasa dihargai (68%), kebahagiaan itu datang dengan ‘harga’ yang tinggi. Kajian mendedahkan bahawa:

  • Hanya 36% pekerja yang berpuas hati dengan tahap stres mereka.

  • Seramai 41% pekerja mengakui mereka berasa sangat letih atau mengalami burnout disebabkan bebanan kerja.

  • Pekerja yang tidak bahagia didapati dua kali ganda lebih cenderung untuk mengalami burnout berbanding rakan sekerja yang bahagia.

Depositphotos 154935930 Xl

Apa Sebenarnya Yang Buat Kita Bahagia?

Rupa-rupanya, faktor utama yang menyumbang kepada kebahagiaan rakyat Malaysia di pejabat bukanlah semata-mata kerana gaji, tetapi lebih kepada elemen harian seperti:

  1. Lokasi tempat kerja (69%).

  2. Rakan sekerja (65%).

  3. Tugasan harian yang dilakukan (65%).

Menariknya, Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Malaysia, Nicholas Lam, menekankan bahawa tujuan atau ‘purpose’ dalam bekerja adalah kunci utama yang mengekalkan kebahagiaan jangka panjang. Sebanyak 64% pekerja di Malaysia berpuas hati apabila mereka merasakan kerja mereka mempunyai makna yang lebih besar daripada sekadar rutin harian.

Gen Z Paling ‘Stres’ Berbanding Generasi Lain?

Kajian ini juga mendapati tahap kebahagiaan di tempat kerja tidak sama rata merangkumi semua peringkat umur.

  • Gen Z dilaporkan mempunyai tahap kebahagiaan yang lebih rendah dan tahap stres yang lebih tinggi berbanding generasi lain.

  • Kira-kira 40% daripada Gen Z merasakan pengurangan stres adalah kunci utama untuk meningkatkan kebahagiaan mereka, berbanding hanya 27% bagi pekerja Gen X.

Sektor Mana Paling Bahagia?

Jika dilihat mengikut industri, sektor Perkhidmatan Profesional dan Pembinaan mencatatkan tahap kebahagiaan tertinggi iaitu sebanyak 78%. Manakala, sektor Runcit, Hospitaliti dan Sukan berada di tangga tercorot dengan hanya 55%.

Depositphotos 45008139 Xl

Pihak Jobstreet menyarankan agar majikan lebih peka dengan keperluan berbeza mengikut generasi dan membina budaya kerja yang lebih menyokong bagi mengurangkan risiko burnout demi kejayaan perniagaan jangka panjang.

Sumber: Jobstreet

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.