Syed Saddiq Muar Makan Makan

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercadang mengadakan majlis kesyukuran sebagai penghargaan atas sokongan penduduk Muar sepanjang enam tahun berdepan perbicaraan di mahkamah.

Menurut Syed Saddiq, majlis berkenaan bukan sekadar meraikan keputusan mahkamah, malah sebagai penghargaan kepada warga Muar yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan dan kepercayaan kepadanya sepanjang berdepan proses perundangan.

Tunang kepada penyanyi Bella Astillah itu berkata, kaedah penganjuran majlis itu masih diperhalusi memandangkan sidang Parlimen masih berlangsung ketika ini.

“Saya akan fikirkan kaedah terbaik, mungkin hujung minggu ini sebab sekarang masih berlangsung sidang Parlimen dan selepas ini saya akan terus ke Parlimen,” katanya.

Artikel berkaitan: “Kami juga ikut perkembangan” – Hakim Beri Pesanan, Harap Syed Saddiq Dapat Teruskan Perancangan Kahwin

Artikel berkaitan: Selepas 500 Hari Berunding, Syed Saddiq Dapat Peruntukkan RM200K Untuk Muar

Mengimbau kembali perjalanan politiknya, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, Mahkamah Tinggi ketika itu memutuskan wujud kes prima facie terhadapnya kira-kira seminggu atau dua minggu sebelum hari mengundi.

Namun, ia tidak menghalang penduduk Muar daripada terus memberikan mandat kepadanya untuk penggal kedua.

“Namun, warga Muar tetap memberikan harapan dan kepercayaan kepada saya.

“Sebab itu, saya mahu menganjurkan majlis kesyukuran, khusus untuk keluarga dan warga Muar yang sentiasa bersama saya,” katanya.

646387841 122242214114261118 2154772485497881722 N 1154X1536 1

Syed Saddiq turut menegaskan bahawa beliau akan terus memberi tumpuan kepada usaha membela kebajikan warga Muar serta melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat.

Beliau berkata, sejak dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan tahun lalu, beliau tidak pernah berhenti berusaha membantu masyarakat di kawasannya dan komited untuk meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat.

Terdahulu, Syed Saddiq dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta, selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan pendakwaan.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.