Rocky Anjing Mbdk

Isu tangkapan anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang baru-baru ini mencetuskan perhatian ramai selepas timbul dakwaan haiwan berkenaan dipukul ketika operasi dijalankan.

Namun, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menegaskan operasi yang dilakukan pada 29 Julai lalu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Datuk Bandar MBDK, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, pihaknya menggunakan peralatan loop ketika tangkapan dibuat dan kaedah tersebut adalah mengikut piawaian kementerian.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat memberikan komen (dakwaan anjing dipukul) kerana ia bergantung kepada laporan siasatan polis,” katanya.

Menurutnya, tindakan menangkap anjing liar itu bukan dibuat secara tiba-tiba, sebaliknya susulan banyak aduan daripada penduduk serta pelajar yang mendakwa sering diganggu, dikejar malah ada yang mengalami kecederaan.

Malah, katanya, terdapat mangsa yang mengalami kecederaan serius (kritikal) sehingga mendorong pihak berkuasa tempatan menjalankan operasi bersama penduduk bagi menangani masalah berkenaan.

Artikel berkaitan: “Bahayanya!” – Pelajar Sekolah Hampir Kemalangan Dikejar Anjing Liar

Artikel berkaitan: Jadi Sukarelawan Kastam Di Bukit Kayu Hitam, Ini Kisah Jonny Si Anjing Jalanan

Images

Mengulas mengenai kes itu, Abd Hamid menjelaskan kecederaan pada anjing terbabit dipercayai berlaku ketika berlaku perebutan dengan seorang wanita yang mendakwa haiwan itu miliknya.

“Kalau ikut kenyataan awalnya, dia kata anjing tersebut miliknya, tapi akhirnya dia kata bukan pula. Jadi kita pun tak tahu. Oleh kerana perkara ini melibatkan siasatan polis, kita minta supaya pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dahulu dan tindakan seterusnya berdasarkan hasil siasatan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan notis berkaitan operasi tangkapan anjing liar itu telah diberikan kepada penduduk taman sebelum operasi dijalankan.

Dalam pada itu, MBDK mengakui berdepan cabaran dalam menangani isu anjing liar berikutan kekurangan anggota serta kesukaran mendapatkan khidmat swasta untuk menjalankan operasi tangkapan sedangkan kira-kira 50 aduan anjing liar direkodkan sebulan di samping kawasan Klang sangat luas.

Sumber: Astro Awani

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.