Collage 3

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar syarat dan piawaian Pensijilan Halal Malaysia, khususnya melibatkan unsur najis mughallazah seperti babi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, tindakan penarikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) telah diambil oleh Jabatan Agama Islam Melaka susulan penemuan berus yang mempunyai ciri bulu babi di sebuah kilang kopi dan kilang biskut di Melaka.

Menurut beliau, syarikat terlibat telah diarahkan menghentikan serta-merta penggunaan logo Halal Malaysia selain menarik balik semua produk terkesan dari pasaran.

Katanya, pihak syarikat juga perlu melaksanakan tindakan pembetulan dan penambahbaikan secara menyeluruh termasuk proses sertu mengikut hukum syarak serta garis panduan yang ditetapkan.

“Sebarang ketidakpatuhan, khususnya yang melibatkan unsur najis mughallazah seperti babi, merupakan satu pelanggaran serius yang tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan tindakan tegas serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tb Berus Bulu Babi JaimBerus yang mempunyai ciri bulu babi yang ditemui di sebuah kilang kopi dan kilang biskut di melaka.

Artikel berkaitan: JAKIM Kaji Kenyataan Presiden PAS Utamakan Kemenangan Politik Berbanding Tunai Umrah

Artikel berkaitan: JAKIM Arah Tarik Semula Produk Makanan Indonesia Dikesan Ada DNA Babi

Dalam pada itu, JAKIM memaklumkan pihaknya menghormati sepenuhnya bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri yang bertanggungjawab dalam pengurusan pensijilan halal serta pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pemegang SPHM di peringkat negeri.

Tambah beliau, JAKIM akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama semua pihak berkuasa terlibat bagi memastikan integriti Pensijilan Halal Malaysia sentiasa terpelihara.

Katanya, tindakan bersepadu akan terus diambil bagi menjamin kemaslahatan masyarakat dalam memperoleh makanan halal serta memastikan sebarang ketidakpatuhan ditangani secara tegas dan segera.

Sumber: FB Jakim

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.