Syaz Ft 2026 05 29T100112.194

Hanya kerana dihalang daripada bertemu kekasih hati, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun tergamak bertindak agresif dengan mengelar leher dan pergelangan tangannya sendiri. Kejadian ngeri ini berlaku di sebuah kediaman di Jonker Walk, Melaka, dan mangsa disyaki berada di bawah pengaruh vape jenis mushroom.

Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, insiden yang berlaku pada jam 10.33 malam Ahad lalu itu berpunca daripada rasa berang mangsa selepas dihalang oleh ibu angkatnya yang berusia 49 tahun untuk berjumpa dengan teman lelakinya yang berumur 17 tahun.

Artikel berkaitan: Pelajar Tingkatan 4 Alami Sawan, Gara-gara ‘Overdose’ Hisap Vape ‘Magic Mushroom’

Artikel berkaitan: Singapura Ketatkan Undang-undang Anti-Vape, Pesalah Boleh Kena Denda Lebih RM30,000

Mangsa kemudiannya mengurung diri di dalam bilik tidur di tingkat satu rumah berkenaan sebelum nekad mencederakan dirinya menggunakan sebilah pisau.

“Ibu angkat mangsa mendakwa remaja itu berada dalam keadaan tertekan dan dipercayai di bawah pengaruh vape jenis ‘mushroom’ sebelum kejadian berlaku.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan di Zon Kuning Unit Kecemasan sebelum dilaporkan stabil,” katanya.

Mula Terjebak Disebabkan Teman Lelaki

Hasil siasatan awal pihak polis mendapati, remaja malang ini mula terjebak dengan penggunaan vape terlarang itu sejak Februari lalu selepas diperkenalkan oleh teman lelakinya yang juga merupakan seorang pelajar Tingkatan Empat.

Ibu angkat mangsa sebelum ini pernah merampas peranti vape tersebut demi menyelamatkan mangsa, malah siasatan turut mendedahkan bahawa bekalan vape mushroom itu dipercayai datang daripada teman lelakinya sendiri.

“Siasatan lanjut masih dijalankan terhadap semua individu terbabit, termasuk ibu angkat dan penghuni rumah berusia 14 hingga 17 tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana dipercayai wujud unsur kecuaian atau pengabaian terhadap mangsa. Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sebelum ini, media ada melaporkan tentang seorang remaja yang ditemui dengan kesan kelar di leher di sekitar Banda Hilir. Menyasar perkembangan terbaru, EXCO Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem mengesahkan mangsa kini berada dalam keadaan stabil namun masih di bawah pemantauan rapi pihak hospital.

Sumber: Berita Harian