Global Sumud Flotilla

Aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) dari Itali yang sebelum ini ditahan oleh tentera Israel kini selamat tiba di Lapangan Terbang Rom.

Antara yang terlibat ialah beberapa ahli politik terkenal seperti Senator Marco Croatti, Ahli Parlimen Eropah Benedetta Scuderi dan Ahli Parlimen Parti Demokratik Arturo Scotto.

Ketibaan mereka disambut meriah oleh keluarga serta penyokong yang hadir memberikan sokongan moral.

Biarpun keletihan, Scuderi mengungkapkan bahawa fikiran mereka tetap tertumpu kepada Gaza dan aktivis lain yang masih dalam tahanan Israel.

“Kami agak letih, tetapi kami sudah pulang. Namun, fikiran kami tetap bersama Gaza dan rakan-rakan yang masih belum dibebaskan,” katanya, lapor Berita RTM.

benedetta scuderi flotillaBenedetta Scuderi

Artikel berkaitan: “Susu, beras dan ubat masih di atas kapal” – SNCC Sahkan Bantuan Global Sumud Flotilla Masih Ditahan Isra*l

Artikel berkaitan: Global Sumud Flotilla: Banyak Negara Bantu Bawa Pulang Rakyat Malaysia Yang Ditahan Israel

Scuderi turut berkata, mereka akan berkongsi pengalaman mengenai pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku semasa dalam tahanan sebaik sahaja semua aktivis pulang.

Dalam pada itu, Croatti melahirkan kebimbangan terhadap nasib aktivis Itali yang masih ditahan serta mendedahkan bahawa mereka telah berulang kali dipantau dan dibawa menaiki van ketika dalam tahanan.

Seramai 40 rakyat Itali menyertai flotila ini dan mereka ditahan selama sehari di penjara Israel selepas kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk Gaza dipintas oleh tentera Israel.

Kementerian Luar Palestin menganggap tindakan Israel sebagai satu pelanggaran undang-undang antarabangsa, manakala protes solidariti turut berlangsung di pelbagai negara di seluruh dunia.

Sumber: Berita RTM

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.