sncc

Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan bahawa barangan bantuan kemanusiaan yang dibawa oleh misi Global Sumud Flotilla (GSF) dipercayai masih berada di kapal yang dipintas oleh rejim Israel.

Bantuan tersebut termasuk beras, susu formula, air bersih dan ubat-ubatan yang sangat diperlukan oleh penduduk Gaza.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim berkata, seramai 462 aktivis GSF kini sedang ditahan oleh pihak berkuasa Israel dan sedang melalui prosiding bersama imigresen Israel.

Pada masa yang sama, SNCC juga mendapat makluman daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) bahawa pada mulanya aktivis flotila tersebut dinafikan hak untuk bertemu peguam.

Artikel berkaitan: Global Sumud Flotilla: Banyak Negara Bantu Bawa Pulang Rakyat Malaysia Yang Ditahan Israel

Artikel berkaitan: Selepas Flotila Ditahan Di Perairan Antarabangsa, Ini Apa Yang Berlaku Pada Peserta Global Sumud Flotilla 2025

global sumud flotillaMisi Global Sumud Flotilla (GSF) membawa kira-kira 500 peserta dari pelbagai negara menaiki lebih 40 kapal bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Namun, dalam tempoh 24 jam yang lalu, peguam daripada Adalah telah berjaya bertemu dengan 331 aktivis di Pelabuhan Ashdod, sementara empat warga Itali telah dibebaskan.

“SNCC turut menerima laporan bahawa delegasi Malaysia kini ditempatkan di Penjara Ketziot dan sedang dinasihatkan untuk menandatangani borang Request for Immediate Departure.

“Dari 23 aktivis Malaysia yang ditahan, 20 telah dihubungi dan proses untuk tiga lagi sedang diatur,” katanya.

SNCC kini dalam keadaan siap sedia untuk membawa pulang semua 23 aktivis Malaysia setelah menerima isyarat daripada kerajaan Turkiye yang berperanan sebagai penghubung dalam rundingan diplomatik dengan rejim Zionis.

SNCC juga menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberi sokongan dengan melakukan solat hajat dan doa Qunut Nazilah bagi memastikan koridor kemanusiaan dibuka untuk Gaza.

Sumber: Kosmo!

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.