Separuh daripada sukarelawan Global Sumud Flotila (GSF) Malaysia yang ditahan Israel sejak Khamis dilaporkan telah dibicarakan tanpa kehadiran peguam. Perkara itu menimbulkan bantahan daripada Pusat Undang-Undang untuk Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) yang sebelum ini bersedia mewakili rakyat Malaysia di mahkamah Israel.
Memetik laporan Harian Metro, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan kerajaan sedang memantau keadaan 23 rakyat Malaysia yang kini berada dalam tahanan, meskipun komunikasi dengan mereka terputus. Kerajaan turut menasihatkan sukarelawan agar menandatangani surat pengusiran bagi memudahkan proses deportasi jika diperlukan.
Menurut beliau, baki sukarelawan dijangka dibicarakan pada Isnin selepas berakhirnya cuti keagamaan Yom Kippur di Israel. Pihak Wisma Putra sebelum ini menekankan kepentingan mengelakkan sebarang provokasi sepanjang proses penahanan.
Ketua Pengarah Pusat Gerakan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim, pula mendedahkan peguam hanya dibenarkan bertemu sukarelawan Malaysia sekali sahaja, manakala pertemuan susulan dihalang. Beberapa peserta juga masih dinafikan akses kepada khidmat guaman.
Setakat ini, seramai 462 peserta GSF dilaporkan berada dalam tahanan Israel, dengan hanya empat orang yang telah dibebaskan. Ini bermakna 458 peserta, termasuk rakyat Malaysia, masih ditahan ketika usaha pembebasan sedang giat dijalankan.
Baca: Global Sumud Flotilla: Banyak Negara Bantu Bawa Pulang Rakyat Malaysia Yang Ditahan Israel