Syaz Ft 2026 08 03T172008.108

Empat individu termasuk tiga sekeluarga maut, manakala seorang kanak-kanak cedera selepas kenderaan jenis Ford Raptor yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Lama Kuala Lumpur-Karak berhampiran pintu gerbang Janda Baik, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 hingga 1.00 tengah hari itu, trak pikap berkenaan dinaiki seramai lima orang sebelum ditimpa pokok besar yang tumbang secara tiba-tiba, menyebabkan empat daripadanya tersepit di dalam kenderaan.

Artikel berkaitan: Tragedi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak: 4 Nyawa Melayang Selepas Honda City Dihempap Treler Terbalik Di Bentong

Artikel berkaitan: Dua Maut, Seorang Cedera Dihempap Kren Arang Batu Di Tanjung Bin Power

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung insiden tragis berkenaan yang meragut empat nyawa di lokasi kejadian.

“Mangsa yang maut ialah pemandu lelaki berusia 35 tahun, penumpang wanita di tempat duduk hadapan bersama kanak-kanak lelaki berusia lima tahun keduanya maut manakala penumpang belakang yang merupakan lelaki berusia 40 tahun juga maut.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang duduk di bahagian belakang cedera,” katanya.

Operasi Menyelamat Gunakan Peralatan Khas

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 1.05 tengah hari.

“Terdapat lima mangsa terlibat iaitu dua lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak yang masih tersepit di dalam kenderaan, manakala seorang lagi kanak-kanak cedera telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke hospital,” katanya.

Kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit pada peringkat awal dibantu oleh anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Janda Baik sebelum disambung oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong.

Anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas pemotong bagi memotong bahagian struktur kenderaan yang remuk untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang terperangkap.

Kesemua mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh bagi proses bedah siasat, manakala kanak-kanak yang cedera dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.

Sumber: Kosmo!

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.