Seorang pemandu lelaki berusia 20-an yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang semalam, kini diperintah reman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut. Perintah reman sehingga Khamis, 2 April itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Zubaidah Mahat pagi ini selepas mendapat permohonan daripada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey memaklumkan bahawa kejadian tragis itu berlaku kira-kira jam 10.40 pagi apabila kereta jenis Honda City yang dipandu suspek dipercayai memotong beberapa kenderaan lain sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan. Tindakan berbahaya itu mengakibatkan kereta suspek merempuh motosikal mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 30-an.
Artikel berkaitan: Pemandu Mabuk Rempuh Palang Keselamatan Pintu 2 Istana Negara
Artikel berkaitan: Dilanggar Pemandu Mabuk, Wanita Meninggal Dunia Lepas 7 Hari Bertarung Nyawa Di Hospital
Impak rempuhan yang kuat menyebabkan mangsa melambung ke udara sebelum tercampak di atas kenderaan lain, di mana mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. Siasatan awal dan hasil saringan air kencing kemudiannya mengesahkan bahawa pemandu terbabit bukan sahaja berada di bawah pengaruh alkohol, malah turut positif dadah ketika kejadian berlaku.
Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah sehingga menyebabkan kematian, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan bagi pertuduhan menyebabkan kematian, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda mencecah RM100,000.

15 hours ago
14































:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















