Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) hari ini mengukuhkan komitmen bagi membantu sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendepani cabaran kos operasi yang kian meningkat.
Menteri KUSKOP, YB Steven Sim Chee Keong, telah mengadakan satu pertemuan strategik bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad.
Pertemuan ini merupakan langkah proaktif susulan Krisis Tenaga Global yang turut memberi kesan kepada landskap ekonomi Malaysia.

PMKS yang sering beroperasi dengan margin keuntungan yang terhad kini terdedah kepada tekanan besar, terutamanya melibatkan kos elektrik dan perbelanjaan operasi harian.
Sehubungan itu, KUSKOP dan TNB memfokuskan perbincangan kepada langkah praktikal untuk menambah baik aliran tunai serta mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh baharu (RE) bagi menjamin kelangsungan perniagaan.
Tiga Bidang Kerjasama Strategik
Dalam pertemuan tersebut, YB Steven Sim telah menggariskan beberapa inisiatif utama yang akan dilaksanakan secara bersama:
- Penyelarasan Tarif dan Insentif: Melalui SME Corp. Malaysia, cadangan sedang dipertimbangkan untuk mewujudkan insentif atau struktur tarif yang lebih bersesuaian bagi menyokong keperluan unik PMKS.
- Optimalisasi Penggunaan Elektrik: Kempen bersama akan dipergiatkan bagi memperluas penggunaan skim Time-of-Use (ToU). Skim ini membolehkan PMKS menguruskan penggunaan elektrik dengan lebih bijak bagi mengurangkan kos operasi keseluruhan.
- Pendigitalan dan Tenaga Hijau: Usaha akan diperkukuh untuk memudahkan akses PMKS kepada pemasangan solar melalui model pembiayaan fleksibel seperti zero capex. Inisiatif ini selaras dengan agenda Kelestarian, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) negara.
Bagi memastikan usahawan bukan sahaja menjimatkan kos tetapi juga berkembang, KUSKOP melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) akan bekerjasama dengan TNB dalam program latihan pembangunan keupayaan. Latihan ini merangkumi aspek pengurusan kewangan serta strategi pengembangan perniagaan yang lebih mampan.

YB Steven Sim turut menekankan kepentingan untuk melibatkan PMKS dalam ekosistem Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Artikel berkaitan : KUSKOP Perkukuh Agenda PMKS Melalui Skim BARAKAT, Dana Hampir RM 35 Juta Diluluskan
Artikel berkaitan : KUSKOP Memperkasakan Wanita: Dana RM3 Bilion Kini Tersedia Untuk 300,000 Usahawan
Selain itu, ruang yang lebih luas akan dibuka bagi PMKS untuk menyertai sektor-sektor baharu seperti teknologi solar, kenderaan elektrik (EV), dan pusat data melalui platform seperti Energy Transition Conference.
Matlamat “Hebatkan Perniagaan Malaysia”
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada strategi besar KUSKOP untuk memartabatkan usahawan tempatan melalui kerangka ABCD:
- Anjakan Produktiviti
- Birokrasi Dipermudah
- Capaian Modal
- Daya Akses Pasaran
Dengan menggabungkan usaha pengurusan kos dan peluang peralihan tenaga, pastinya PMKS Malaysia kekal berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia untuk berkembang ke pasaran baharu tegas YB Steven Sim.
Sumber : KUSKOP

13 hours ago
11






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















