“Meruntuhkan rumah tangga orang bukan perkara baik” – Suami Isteri Tampil Perjelas Video Tular Tengking Depan Anak

14 hours ago 8

Pasangan suami isteri yang tular di hadapan sebuah restoran makanan segera berhampiran Lapangan Terbang Senai tampil menjelaskan kejadian sebenar.

Mereka mendakwa insiden itu telah disalah tafsir sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai rumah tangga mereka.

Menurut lelaki terbabit, Mohd Hakeem Latif, 32, kejadian itu sebenarnya sudah lama berlaku iaitu sekitar April lalu ketika dia mengambil isterinya, Nurul Ain Mohd Mokhtar, 37, pulang dari tempat kerja.

Hakeem memberitahu kejadian yang dilihat dia memarahi isterinya kerana ketika itu berasa tertekan apabila dia bekerja syif malam sebagai pengawal keselamatan, manakala Nurul Ain bekerja syif pagi di restoran makanan segera berkenaan.

“Saya datang ambil dia balik kerja jam 6 petang, tetapi dia pula perlu bekerja lebih masa.

“Itulah yang menyebabkan saya marah. Tetapi itu sudah lama berlaku, bukan baru-baru ini,” katanya.

Anak menangis bukan sebab dimarahi

Bercerita lanjut, anaknya yang berusia dua tahun menangis seperti dalam video tular itu bukanlah disebabkan dimarahi atau dikasari sebaliknya terjatuh akibat tersadung pada lantai koridor.

Dalam pada itu, Hakeem mengakui dirinya seorang panas baran namun tidak pernah mengangkat tangan terhadap isterinya.

“Saya memang seorang yang baran hingga meninggikan suara, tapi itulah kadang-kadang boleh kawal, kadang-kadang tidak.

“Apa pun saya tidaklah pernah naik tangan terhadap isteri mahupun anak tunggal kami,” katanya lagi.

Tambah Hakeem lagi, disebabkan video itu, ramai yang menggesa isterinya untuk menuntut penceraian. Namun, baginya perpisahan bukan jalan penyelesaian kepada isu berkenaan.

“Saya tidak pernah terfikir untuk bercerai. Kami sudah lima tahun berkahwin dan saya masih sayangkan keluarga saya.

“Meruntuhkan rumah tangga orang bukan perkara yang baik dan saya tidak pernah terfikir ke arah itu,” katanya.

Jelasnya lagi, dia kecewa dengan rakaman tersebut namun menganggap kejadian yang berlaku itu sebagai pengajaran.

Artikel berkaitan: “Ramai isteri akhir zaman hilang hormat” – Wanita Tengking Minta Cerai Sebab Suami Miskin

Artikel berkaitan: Tular Video Wanita Dit*mpar & Dip*kul Suami Di Tempat Awam Di Melaka

Isteri bimbang dengan keselamatan suami

Sementara itu, Nurul Ain mendakwa penularan semula rakaman itu menyebabkan dia dan suami terpaksa memberi penjelasan kepada ahli keluarga serta kenalan yang menyangka berlaku masalah dalam rumah tangga mereka.

“Kami dalam baik-baik sahaja. Selepas suami tukar kerja baru di Kulai, urusan menjaga anak juga lebih teratur berbanding ketika suami bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum ini,” katanya.

Dia yang hamil tiga bulan mengakui bimbang dengan keselamatan suaminya berikutan kecaman yang diterima di media sosial selain nombor pendaftaran motosikal turut tular.

Nurul Ain berharap rakaman berkenaan diturunkan dan menasihati agar bertanya dahulu sebelum sebarkan tanpa usul periksa.

Sumber: Sinar Harian, Facebook, Threads

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |