Dunia pendakian kini berduka apabila pendaki gunung legenda, Nirmal Purja atau lebih dikenali sebagai Nimsdai disahkan terkorban dalam kejadian runtuhan salji ketika ekspedisi Gunung Broad Peak, Pakistan.
Lebih menyayat hati, tragedi itu meragut nyawa kesemua 10 ahli ekspedisi ketika mereka sedang cuba menawan puncak setinggi 8,047 meter, antara gunung tertinggi di dunia.
Dilanda runtuhan salji ketika menuju ke puncak
Pada awal pagi 30 Julai, ekspedisi yang diketuai Nimsdai memulakan pendakian menuju ke Broad Peak.
Namun, ketika berada pada ketinggian melebihi 6,000 meter, kumpulan itu dipercayai dihempap runtuhan salji yang berlaku kira-kira waktu tengah hari sebelum terputus hubungan dengan kem pangkalan. Sejak itu, tiada sebarang komunikasi diterima daripada mereka.
Kumpulan ekspedisi itu dilaporkan terdiri daripada enam pendaki dari Nepal termasuk Nimsdai, selain masing-masing seorang dari Amerika Syarikat, Oman, China dan Pakistan.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa Pakistan segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat menggunakan helikopter serta pasukan penyelamat darat.
Bagaimanapun, cuaca yang ekstrem, angin kencang serta bentuk muka bumi yang berbahaya menyebabkan operasi menjadi amat sukar.
Rakaman dron pada peringkat awal hanya berjaya mengesan beberapa tubuh mangsa, namun identiti mereka ketika itu masih belum dapat dipastikan.
Dalam satu kenyataan, syarikat milik Nimsdai, Elite Expeditions, mengesahkan pendaki berusia 43 tahun itu maut dalam tragedi tersebut.
Lebih menyedihkan, syarikat itu turut memaklumkan bahawa semua ahli ekspedisi yang menyertainya tidak terselamat.

Pada 2 Ogos, usaha pencarian akhirnya membuahkan hasil apabila pasukan penyelamat menemui mayat Nimsdai pada ketinggian kira-kira 5,700 meter di Broad Peak.
Setakat ini, tujuh mayat berjaya dibawa keluar, manakala tiga lagi mangsa turut berjaya dikesan sebelum operasi membawa turun semua mangsa diteruskan dalam keadaan yang amat mencabar.

Dalam misi pecah rekod baharu
Pemergian Nimsdai amat mengejutkan komuniti pendaki kerana beliau ketika itu sedang memburu satu lagi rekod dunia.
Dalam hantaran terakhirnya di platform X beberapa hari sebelum kejadian, Nimsdai memaklumkan pendakian Broad Peak sebenarnya tidak termasuk dalam perancangannya.
Ujarnya, beliau pada asalnya hanya bercadang mendaki Gasherbrum II (G2), namun mengambil peluang untuk turut menawan Broad Peak bagi melengkapkan misi menjadi individu pertama dalam sejarah yang berjaya mendaki kesemua 14 gunung melebihi 8,000 meter sebanyak dua kali tanpa alat bantuan oksigen.
“Broad Peak, saya tidak meminta apa-apa selain perjalanan yang selamat naik dan turun. Saya tidak pernah memandang ringan mana-mana gunung,” tulisnya.
THE MISSION SHIFTS. THE COMPASS HOLDS.
This was never the plan. Initially, the plan was to climb just G2. But just before setting off for Pakistan, I ran the numbers on my 8000m summits. That’s when it hit me: if I tick off Broad Peak whilst I’m here , only one remains “Cho… pic.twitter.com/rovJzFcazP
— Nirmal Purja MBE (@nimsdai) July 27, 2026
Individu pertama tawan 50 puncak ketinggian 8,000m dalam masa 189 hari
Nama Nimsdai bukan asing dalam dunia pendakian ekstrem. Bekas Briged Gurkha Britain dan Skuadron Bot Khas Kor Marin Diraja itu mencipta rekod dunia apabila berjaya menawan 14 gunung tertinggi di dunia dalam tempoh hanya 189 hari.
Kejayaan luar biasanya turut diabadikan menerusi dokumentari Netflix 14 Peaks: Nothing Is Impossible, yang melonjakkan namanya sebagai antara pendaki paling berpengaruh di dunia.
Beliau kemudian terus mencipta rekod apabila menjadi individu pertama di dunia menamatkan 50 pendakian ke puncak melebihi 8,000 meter, dengan 22 daripadanya tanpa alat bantuan oksigen.

Selain itu, antara detik yang paling diingati melibatkan Nimsdai ialah gambar tular kesesakan pendaki di puncak Gunung Everest pada tahun 2019, yang memaparkan barisan panjang pendaki terpaksa menunggu giliran untuk tiba di puncak.
Gambar itu mencetuskan perbincangan di seluruh dunia mengenai isu kesesakan di Everest dan risiko keselamatan akibat terlalu ramai pendaki yang boleh membawa maut.

Jiwa penyelamat
Namun apa yang lebih membuatkan ramai menghormati beliau bukan sekadar rekod, tetapi jiwa penyelamatnya.
Beliau berkali-kali menghentikan pendakiannya untuk menyelamatkan nyawa orang lain di zon maut Himalaya, walaupun tindakan itu bermakna beliau terpaksa mengorbankan masa, tenaga dan peluang mencipta rekod. Bagi Nimsdai, tiada pencapaian yang lebih bernilai daripada menyelamatkan nyawa manusia.
Selain itu, beliau juga menjadi suara kepada pendaki Nepal yang selama puluhan tahun kurang diberi penghargaan, walaupun merekalah yang membuka laluan, memasang tali keselamatan dan membantu ribuan pendaki asing mencapai puncak.

Artikel berkaitan: “Operasi yang jarang berlaku” – Malim Gunung Selamatkan Pendaki Malaysia Dari ‘Zon Maut’ Everest
Artikel berkaitan: Lepas Terima Kritikan Dari Netizen, Pendaki Malaysia Akhirnya Beri Kredit Diselamatkan ‘Sherpa’ Di Everest
Antara gunung paling berbahaya
Untuk rekod, Broad Peak yang terletak di banjaran Karakoram merupakan gunung ke-12 tertinggi di dunia dan dikenali sebagai antara puncak paling mencabar untuk didaki.
Sejak pendakian pertama yang berjaya pada 1957, puluhan pendaki dilaporkan terkorban ketika cuba menawan puncak berkenaan.
Insiden paling tragis yang pernah direkodkan sebelum ini pada tahun 2013, apabila sekurang-kurangnya enam pendaki maut di gunung tersebut.
Pemergian Nimsdai bukan sekadar kehilangan buat keluarga dan rakan-rakan, malah satu kehilangan besar kepada dunia pendakian.
Di sebalik pelbagai rekod yang pernah dipecahkan, beliau akan terus dikenang sebagai seorang pendaki yang sentiasa mencabar batas kemampuan manusia, selain berani mempertaruhkan nyawa demi membantu pendaki.
Sumber: BBC, X, Berita Harian

11 hours ago
10































:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)

















