Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) terus mengukuhkan kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Sabah bagi memacu agenda kelestarian alam dan pengurusan sumber asli yang lebih efektif.
Komitmen ini dizahirkan melalui kunjungan hormat Menteri NRES, YB Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, kepada Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, di Menara Kinabalu hari ini.
Sebagai pengiktirafan terhadap usaha gigih Sabah dalam mengekalkan kawasan perlindungan, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) berjumlah RM22.748 juta bagi fasa pertama tahun 2026.

Penyaluran ini merupakan kesinambungan daripada dana tahun 2025 yang berjumlah RM35.69 juta. Secara keseluruhan, Sabah telah menerima sebanyak RM126.357 juta sejak tahun 2019 khusus untuk menyokong projek konservasi biodiversiti di negeri tersebut.
Agenda MA63 dan Pemerkasaan Kuasa
Pertemuan tersebut turut membincangkan perkara penting di bawah kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Antara fokus utama termasuklah:
- Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] yang melibatkan pemberian kuasa kawalan buangan terjadual di darat dan perairan Sabah.
- Proses penyerahan semula lot tanah Persekutuan kepada Kerajaan Negeri yang kini berada dalam fasa akhir untuk kelulusan Jemaah Menteri.
Dalam pada itu, YB Datuk Seri Arthur Joseph Kurup turut menekankan kepentingan tapak tanah lembap di Sabah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Artikel berkaitan : Bukan Sekadar Menang, Kerajaan Tekad Tuntut Semula Setiap Sen Kerugian Kes Sulu
Artikel berkaitan : Pengiktirafan Berganda untuk Malaysia! Lenggong & Sarawak Delta Kini Berstatus UNESCO Global Geopark
Selain Kinabatangan Segama dan Rizab Biosfera Banjaran Crocker di Kota Kinabalu, beliau turut meraikan pengiktirafan terbaharu iaitu Rizab Biosfera Kinabatangan yang telah diiktiraf pada tahun 2025 yang lalu.

Menurut beliau, kestabilan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah adalah tunjang utama bagi memastikan warisan alam semula jadi negara kekal terpelihara demi kesejahteraan generasi masa hadapan.
Sumber : Siaran Media NRES

9 hours ago
4































:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















