Pemandu Bas Riba Wanita Suami Orang

Pemandu bas yang didakwa memandu sambil memangku seorang wanita seperti yang tular di media sosial dikenal pasti sebagai seorang lelaki yang sudah berkahwin, manakala wanita terbabit dipercayai kenalannya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Jasin, Lee Robert yang meminta kedua-dua suspek itu tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bagi membantu siasatan susulan tindakan berbahaya itu.

Menurut laporan, polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jasin telah membuka kertas siasatan susulan video tular itu yang difahamkan kejadian terbabit berlaku ketika kenderaan berada di Lebuh Raya Utara-Selatan dalam daerah Jasin.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 12 April 2026 kira-kira jam 7.30 malam di susur masuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bemban arah selatan.

“Rakaman video berkenaan dikesan mula tular pada 13 April 2026 sekitar jam 5.30 petang,” katanya.

553

Artikel  berkaitan: Syarikat Bas Sahkan Sudah Pecat Pemandu Bas Tular Riba Wanita Ketika Memandu

Artikel berkaitan: “Tak fikir nyawa penumpang ke?” – Riba Wanita Ketika Bawa Bas, JPJ Siasat Pemandu Bas Ekspres

Jelas pihak polis, perbuatan terbabit amat berbahaya kerana boleh menjejaskan kawalan kenderaan, mengganggu tumpuan pemandu serta membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.

Terdahulu, syarikat Sri Maju Group telah pun mengambil tindakan tegas dengan menamatkan perkhidmatan pemandu bas berusia 36 tahun itu.

Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga mengambil keterangan terhadap pemandu bas berkenaan untuk tindakan lanjut.

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.