Syaz Ft 2026 06 02T163727.361

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah lumrah menjaga ahli keluarga yang sakit di hospital, sehinggakan urusan mencari makanan pada larut malam juga boleh menjadi satu cabaran.

Namun, satu perkongsian tular di platform Threads oleh pengguna bernama @rrrrrrrcive baru-baru ini membuktikan masih ramai rakyat Malaysia yang berhati mulia tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Artikel berkaitan: Santuni Peminat OKU di Singapura, Sikap Rendah Diri Siti Nurhaliza Dipuji Netizen

Artikel berkaitan: “Semoga order tak berhenti masuk” – Netizen Terharu Tengok Food Rider Bantu Pakcik OKU Di Tengah Jalan

Kedai Tutup & Sistem ‘Locked Up’ Masa Mak Tengah Lapar

Menurut perkongsian @rrrrrrrcive yang sedang menjaga ibunya di Hospital Selayang, dia telah memesan burger melalui aplikasi penghantaran makanan sekitar jam 10:30 malam. Malangnya, pesanan itu ditangguhkan beberapa kali oleh vendor sebelum pihak kedai menghubunginya pada jam 11:47 malam untuk memaklumkan premis sudah ditutup tanpa membatalkan pesanan di aplikasi.

Disebabkan sistem bertukar menjadi ‘locked up’, dia gagal membatalkan pesanan sendiri. Namun, dia kemudian menerima panggilan daripada seorang rider bernama Abang Shahril yang menawarkan diri untuk membelikan makanan lain menggunakan duit sendiri selepas tahu pelanggan berada di hospital.

Selepas pesanan asal terbatal automatik, rrrrrrrcive pasrah dan terlelap pada jam 12:40 tengah malam. Siapa sangka, jam 3:00 pagi, Abang Shahril menghubunginya semula selepas selesai kerja lain untuk bertanya jika dia masih mahukan makanan tersebut. Kira-kira jam 3:40 pagi, makanan selamat dihantar terus ke wad!

Tolak Bayaran, Anggap Sebagai Rezeki Pelanggan

Apa yang membuatkan pengguna Threads ini lebih terharu adalah apabila Abang Shahril enggan menerima sebarang wang bayaran.

“Bila saya cuba nak bayar dia, dia tolak. Dia cuma cakap, ‘Ni rezeki saya, saya bagi awak jugak.’ Hey nak nangis!” Luahnya. 

Sifat amanah dan ihsan yang ditunjukkan oleh Abang Shahril ini sememangnya meraih pujian netizen yang rata-rata mendoakan agar dia dimurahkan rezeki.

Sumber: Threads

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.