Lelaki yang berjaya diberkas polis selepas disyaki memukul isterinya sehingga cedera parah dan menyebabkan keguguran didapati mempunyai empat rekod jenayah termasuk kes mencederakan beberapa isteri lain serta teman wanitanya.
Malah, suspek berusia 43 tahun itu turut mempunyai rekod berkaitan ugutan jenayah dan menyembunyikan kelahiran.
“Suspek mempunyai empat rekod jenayah, tidak termasuk kes di Johor Bahru. Kes-kes itu masih dalam perbicaraan di mahkamah Alor Setar dengan dakwaan hampir serupa dengan kes terbaharu.
“Kes tersebut melibatkan Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan cedera parah pada 2025 dan masih dalam perbicaraan di Alor Setar,” kata Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah.

Manakala kes lain di bawah Seksyen 323 KK iaitu mendatangkan kecederaan ringan dan Seksyen 506 KK berkaitan ugutan jenayah terhadap mangsa.
Polis turut mendedahkan, suspek dipercayai telah berkahwin sebanyak sembilan kali dan ketika ini mempunyai tiga isteri serta 11 anak.
Tambahnya, suspek dipercayai menyasarkan wanita yang mempunyai pekerjaan tetap, kebanyakannya dalam kalangan penjawat awam.
“Modus operandi suspek adalah mencari pasangan yang mempunyai pekerjaan tetap dan majoritinya kakitangan kerajaan,” katanya.
Mengulas lanjut, mangsa mendakwa telah beberapa kali dipukul atas alasan remeh seperti lambat mandi, menunjukkan suspek seorang yang panas baran.
“Wanita itu dipukul termasuk menggunakan beberapa objek seperti penyangkut baju dan batang besi langsir sehingga mengalami kecederaan parah seperti patah tulang rusuk kiri dan kanan serta tulang belakang,” katanya.
Pun begitu, tiada laporan polis dibuat sepanjang tempoh mangsa dipukul sehingga abangnya tampil membuat laporan pada Jumaat lalu, sebelum mangsa sendiri membuat laporan susulan pada Ahad.
Terdahulu, media melaporkan wanita cedera di beberapa bahagian badan dipercayai dipukul suaminya sehingga menyebabkan mangsa turut mengalami keguguran.
Wanita berusia 39 tahun yang juga penjawat awam itu keguguran ketika kandungan berusia 12 minggu.
Suspek akhirnya ditahan polis semalam di sekitar Alor Setar selepas melarikan diri selepas kejadian itu.
Polis sebelum ini turut mengesahkan suspek adalah lelaki yang sama disabitkan kesalahan memukul isteri di Johor Bahru pada 2021.
Sumber: Kosmo!

2 hours ago
5































:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















