Kebakaran Sandakan Serbu Lori

Seorang pemandu lori terkejut dan berasa terkilan apabila kenderaannya yang membawa barang sumbangan untuk mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan diserbu sekumpulan individu yang tidak dikenali.

Insiden yang ditularkan di media sosial memaparkan beberapa individu memanjat lori ketika kenderaan tersebut masih bergerak dan mengambil barangan sebelum dicampakkan ke bawah.

Pemandu lori terbabit, Jeffry Ayung, 36, berkata kejadian terbabit berlaku pada hari pertama kebakaran, ketika dia sedang menghantar sumbangan daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sungai Manila dan Masjid Sungai Manila untuk mangsa kebakaran.

“Saya difahamkan mereka ini orang luar, bukan penduduk Kampung Bahagia. Saya sendiri terkejut, tak sangka mereka begitu agresif, tapi tiada kerosakan atau kecederaan berlaku, jadi kami biarkan saja sambil memandu perlahan, tapi tiba di pusat pengumpulan, barang sumbangan memang sudah tiada,” katanya.

Difahamkan, sumbangan barangan yang dibawa itu berupa pakaian, air mineral dan makanan kering yang didermakan oleh masyarakat sekitar serta NGO.

Artikel berkaitan: “Kami maafkan” – Diherdik Ketika Padam Kebakaran Di Sandakan, Anggota Bomba Tak Kecil Hati Dilabel Tak Berguna

Susulan insiden luar jangka itu, Jeffry berasa sedih dan bersalah kerana tidak dapat menghantar sumbangan yang diamanahkan kepada mangsa yang sepatutnya.

Malah, katanya ini merupakan pengalaman pertama berdepan situasi sebegini selepas bergiat dalam kerja amal menyediakan pengangkutan percuma untuk menghantar sumbangan kepada mangsa bencana sejak empat tahun lalu.

Selepas kejadian itu, pihaknya meminta bantuan phak berkuasa dan NGO untuk iringi mereka menghantar bantuan.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.