Najib Razak Kekal Di Penjara Tarik Balik Tahanan Rumah

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam permohonan semakan kehakimannya berkaitan Titah Adendum.

Ini bermaksud, bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak lagi meminta mahkamah untuk membolehkannya menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun melalui tahanan rumah.

Melalui notis daripada firma guaman Tetuan Shafee & Co bertarikh 2 April lalu, firma guaman berkenaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa, Najib selaku perayu berhasrat untuk menarik balik rayuan berkenaan.

Menurut sumber, keputusan menarik balik rayuan itu dibuat tanpa perbicaraan lanjut mengenai permohonan tersebut.

Artikel berkaitan: Mahkamah Tinggi Putuskan 4 ‘Surat Derma Arab’ Kes 1MDB Najib Razak Sebenarnya Palsu

Artikel berkaitan: “Isu tahanan rumah tidak pernah dibincang. Titah Adendum bukan perintah sah” – Hakim Mahkamah Tinggi

61733386229 Najibrazak

Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan pada 14 April lalu merekodkan bahawa Notis Penghentian yang difailkan peguam adalah teratur, dan seterusnya membatalkan notis rayuan Najib.

Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Terdahulu, Najib dilaporkan memfailkan rayuan bagi membolehkan beliau menjalani hukuman dalam bentuk tahanan rumah atas alasan tertentu.

Bagaimanapun pada 22 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, menolak permohonan semakan kehakiman Najib kerana isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah disebut dan dibincangkan serta diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Sumber: Berita Harian, Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.