Setiap kali berdepan dengan sakit kepala, lenguh badan atau senggugut, kebanyakan daripada kita akan terus mencapai ubat tahan sakit sebagai penyelesaian paling cepat.
Memang tidak dinafikan ia mudah didapati dan dianggap cara paling praktikal untuk kembali sihat tanpa menganggu rutin harian. Tapi tanpa disedari, pengambilan ubat tahan sakit lama-kelamaan menjadi satu kebiasaan dalam masyarakat kita.
Mungkin kita berpendapat yang kita cuma mahu melegakan kesakitan sementera, tapi pengambilan ubat tahan sakit secara lama dan berterusan sebenarnya boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan.
Berikut adalah fakta mengenai ubat tahan sakit dan sebab kenapa ia tidak boleh diambil sembarangan.
Artikel Berkaitan: Tular Video Tak Senonoh Mirip Penyanyi Lelaki, Dakwa Tuan Badan Sendiri Jual Di Telegram? – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Tunggu Kelahiran Pertama Ogos Ini, Suami Reda Isteri Hamil 3 Bulan Maut Kebakaran – Lobak Merah
Apa itu ubat tahan sakit?

Ubat tahan sakit ialah sejenis ubat yang berfungsi untuk mengurangkan atau melegakan rasa sakit pada tubuh. Ia digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat dan boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti tablet, kapsul, sirap atau sapuan luaran.
Secara umumnya, ubat ini diambil bagi membantu meredakan ketidakselesaan yang berpunca daripada sakit kepala, sakit gigi, senggugut, sakit otot atau kesakitan lain sama ada pada bahagian luar mahupun dalam badan.
Oleh sebab itu, penggunaannya tidak terhad kepada golongan tertentu dan sering menjadi pilihan utama kebanyakan orang terutamanya apabila berdepan dengan kesakitan.
Apa fungsi ubat tahan sakit?

Fungsi utama ubat tahan sakit adalah untuk melegakan kesakitan. Bila kita ambil ubat ini, ia akan masuk ke dalam saluran darah kita dan bertindak untuk menghalang satu bahan yang dipanggil sebagai prostaglandin.
Prostaglandin ini sepatutnya berfungsi untuk menghantar isyarat sakit kepada otak. Tapi bila bahan ini dihentikan atau dihalang oleh ubat tahan sakit, otak kita akan tidak menerima isyarat sakit, maka kita pun rasa lega dan rasa sakit turut berkurangan.
Ada berapa jenis ubat tahan sakit?

Sebenarnya, ada pelbagai jenis ubat tahan sakit di pasaran yang digunakan untuk melegakan kesakitan biasa seperti sakit kepala, sakit gigi, sakit otot dan demam.
Secara umumnya, ubat tahan sakit boleh dibahagikan kepada empat kategori utama berdasarkan cara ia bertindak dalam badan iaitu Acetaminophen, Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs (NSAID), COX-2 Inhibitors dan Opiod.
Bagi ubat Acetaminophen, ubat ini juga dikenali sebagai paracetamol, iaitu antara ubat tahan sakit yang paling biasa digunakan dalam masyarakat kita. Di Malaysia, jenama Panadol adalah antara contoh ubat yang mengandungi paracetamol.
Ubat ini kebiasaannya digunakan untuk melegakan sakit kepala, sakit gigi, sakit otot dan demam. Paracetamol juga selamat digunakan untuk kebanyakan individu berbanding ubat lain, tapi dengan syarat ia perlu diambil mengikut dos yang ditetapkan.
NSAID pula ialah sejenis ubat tahan sakit yang mempunyai fungsi anti-radang dan boleh mengurangkan demam. Ubat ini biasanya digunakan untuk kesakitan yang berkait dengan keradangan seperti sakit sendi, senggugut atau kecederaan otot.
Antara contoh ubat yang mengandungi NSAID ini adalah seperti Ibuprofen, Aspirin dan Diclofenac. Ibuprofen ialah contoh NSAID yang sangat terkenal sebagai pilihan ramai dalam melegakan kesakitan yang berkait rapat dengan keradangan.
Difahamkan juga yang NSAID ini lebih berkesan berbanding dengan paracetamol, tetapi penggunaannya perlu berhati-hati kerana boleh memberi kesan sampingan kepada perut jika diambil secara berlebihan.
Seterusnya, COX-2 Inhibitors ialah sejenis ubat tahan sakit yang berfungsi hampir sama dengan NSAID, tetapi direka untuk mengurangkan risiko kesan sampingan tertentu, khususnya iritasi dan pendarahan pada perut.
Jadi, kesan penggunaan ubat ini sama sahaja dengan NSAID, yang mana ia boleh melegakan kesakitan serta mengurangkan keradangan. Ubat ini sesuai diberikan kepada pesakit yang tidak boleh mengambil NSAID biasa, contohnya seperti pesakit yang berisiko mengalami masalah gastrik.
Selain itu, bagi pesakit yang mengalami kesakitan yang lebih serius biasanya akan mengambil ubat Opiod. Hal ini kerana, ubat ini dikategorikan sebagai ubat yang lebih kuat berbanding ubat lain.
Antara contoh ubat opiod adalah Morphine, Codeine dan Pethidine. Walaupun ubat-ubat ini berkesan untuk mengawal kesakitan yang serius, penggunaannya harus di bawah pengawasan doktor dan tidak boleh diambil secara tidak terkawal kerana ia boleh menyebabkan ketagihan.
Apa kesan sampingan ubat tahan sakit?

Walaupun ubat tahan sakit memang digunakan khas untuk membantu melegakan rasa sakit, tapi ubat-ubat ini semua tidak boleh diambil secara berlebihan terutamanya jika tidak dibawah pengawasan pakar kesihatan.
Pengambilan dos ubat Acetaminophen yang berlebihan boleh membawa kepada kerosakan organ hati serta penggantungan terhadap ubat ini secara lama juga boleh mencetuskan rasa sakit kepala kepada pesakit.
Bagi NSAID pula, ubat ini perlu diambil dengan mengikuti jangka masa yang disarankan saja. Sekiranya diambil terlalu lama, ia boleh membawa masalah seperti sakit perut, kerosakan buah pinggang, ulser perut dan mudah untuk mengalami pendarahan.
Kesan sampingan bagi ubat COX-2 Inhibitors tidak jauh beza dengan pengambilan NSAID, tapi ia turut boleh meningkatkan risiko serangan jantung.
Secara kebiasaanya, opioid hanya akan diberi kepada pesakit yang terlibat dalam kemalangan yang serius, menjadikan pengambilannya perlu dikawal rapi. Tapi, pengambilan ubat ini secara tidak terkawal boleh menyebabkan pesakit mengalami rasa loya atau muntah, sembelit, ketagihan serta masalah pernafasan.
Jadi, apakah tindakan yang paling tepat?

Pengambilan ubat tahan sakit perlu diambil mengikut kawalan dan nasihat doktor, tak kira macam mana sekalipun.
Setiap ubat mempunyai cara penggunaan yang berbeza dan hanya pakar kesihatan seperti doktor sahaja boleh memberi panduan supaya ubat itu boleh memberi kesan yang terbaik tanpa menimbulkan masalah kesihatan lain terhadap pesakit.
Ubat tahan juga biasanya disarankan untuk diambil selepas makan untuk mengurangkan risiko gangguan pada perut seperti iritasi atau pendarahan. Pengambilan yang berlebihan juga perlu dielakkan kerana ia boleh memberi kesan sampingan serius seperti masalah ketagihan.
Oleh itu, kita sangat disarankan untuk mendapat nasihat profesional daripada pakar kesihatan sebelum mengamalkan penggunaan ubat tahan sakit demi mengelakkan risiko yang tidak diingini berlaku.
Sumber: Doctor on Call, Hello Doktor

14 hours ago
8






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















