MB Negeri Sembilan Dakwa Penamatan EXCO Tidak Berperlembagaan

8 hours ago 10

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Haji Ismail bin Lasim menegaskan bahawa sebarang tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan daripada Menteri Besar adalah satu kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Ismail menjelaskan pentafsiran rasmi berhubung sempadan kuasa eksekutif di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, khususnya yang melibatkan kedudukan serta tempoh perjawatan Ahli EXCO.

Artikel berkaitan: Tunku Nadzaruddin Ditabal Sebagai Yang di-Pertuan Besar Ke-12, Ini Yang Berlaku Di Negeri Sembilan Dalam 24 Jam

Artikel berkaitan: “Adat Bersendi Syarak, Syarak Bersendi Kitabullah” – Krisis Takhta Negeri Sembilan Bergolak, Siapa Sebenarnya Yang Berhak Menentukan?

Menurut beliau, sistem pentadbiran Negeri Sembilan ditegakkan di atas prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Berdasarkan Bahagian Kedua UUTKNS 1959, kuasa Kedaulatan Raja dalam hal pentadbiran negeri hendaklah dijalankan atas nasihat Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Menurut Perkara 40(1) UUTKNS 1959, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi pentadbiran (eksekutif) di bawah Bahagian Kedua Perlembagaan Negeri.

Manakala had kuasa budi bicara yang diberikan kepada Raja dalam hal pentadbiran hanya merangkumi perkara-perkara yang dinyatakan secara bertulis di bawah Perkara 40(2) UUTKNS 1959. Kuasa untuk memberhentikan atau menamatkan tempoh jawatan EXCO secara bersendirian tidak termaktub dalam institusi budi bicara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail berkata kuasa Raja untuk memperkenankan tempoh perjawatan seseorang EXCO di bawah Perkara 38(5) tidak boleh dibaca secara berasingan, sebaliknya wajib dibaca bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1). Ini bermakna sebarang penamatan atau perubahan kedudukan barisan EXCO semasa pentadbiran berjalan hanya boleh berkuat kuasa atas nasihat atau permintaan rasmi daripada Menteri Besar.

Ismail turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa menasihati berkenaan pemberhentian mana-mana EXCO Kerajaan Negeri Sembilan di bawah peruntukan berkenaan.

“Dengan itu, tidak ada keperluan untuk mengemukakan senarai EXCO yang baharu kerana EXCO yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.

Kerajaan Negeri Sembilan akan terus mempertahankan keluhuran perlembagaan demi memastikan kestabilan pentadbiran dan mandat rakyat sentiasa dipelihara berlandaskan lunas undang-undang yang sah,” tegas beliau.

Kenyataan tegas ini sekali gus meredakan spekulasi politik dan perebutan jawatan yang hangat diperkatakan di Negeri Sembilan, sambil memberikan isyarat jelas bahawa pentadbiran negeri kekal kukuh dan beroperasi seperti biasa di bawah teraju pimpinan sedia ada.

Sumber: Threads

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |