Selepas lebih dua dekad tersimpan, sepucuk surat bersejarah daripada mendiang vokalis kumpulan rock legenda Linkin Park, Chester Bennington yang ditujukan khas buat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin akhirnya kembali menyapa ingatan ramai.
Surat berkenaan ditemui secara tidak sengaja oleh pengurus penyanyi nombor satu negara itu, Rozi Abd Razak (Rozi Sang Dewi) ketika beliau sedang mengemas rumah baru-baru ini.
Menurut Rozi menerusi perkongsian di platform Threads, surat berkenaan sebenarnya diserahkan kepada Siti sewaktu mereka menghadiri anugerah gilap bakat antarabangsa, MTV Asia Awards yang berlangsung di Bangkok, Thailand sekitar tahun 2005.
Artikel berkaitan: Siti Nurhaliza Buat Kejutan! Jemput Noraniza Idris Sebagai Penyanyi Undangan Di Konsert Gema Bumantara
Artikel berkaitan: Peminat Sanggup ‘Battle’ Simpan Duit Beli Tiket Konsert Tradisional, Siti Nurhaliza Akui Hampir Menitis Air Mata!
“Beberapa bulan lalu, saya ada cerita perkara ini sewaktu sesi live bersama Siti. Tiba-tiba tengah kemas-kemas, saya terjumpa semula surat daripada mendiang Bennington yang diterima kira-kira 21 tahun lalu.
“Surat ini sampai terus ke bilik hotel saya dan Siti. Saya simpan rapi sampai sekarang,” katanya.
Menerusi foto helaian kertas yang dimuat naik, nota ringkas itu jelas tertera nama ‘Ms Siti Nurhaliza Binte Tarudin’ berserta nombor bilik hotel 1017.
Apa yang mencuri perhatian, mendiang Bennington menyampaikan pesanan mesra meminta Siti memakai topi yang diberikan olehnya sewaktu beraksi di atas pentas pada malam kemuncak berkenaan.
“Kepada Ms Siti Nurhaliza Binte Tarudin. Harap dapat memakai topi di pentas malam ini. Terima kasih,” tulis penyanyi lagu Numb itu ringkas.
Jelas Rozi lagi, pendedahan itu sekadar untuk mengimbau kenangan lama dan tiada niat lain.
Untuk rekod, pada acara gilang-gemilang MTV Asia Awards 2005 itu, Siti bukan sahaja merangkul trofi Artis Pilihan Malaysia (Favourite Artiste Malaysia), malah turut diiktiraf sebagai Voice of Asia selain menyampaikan persembahan memukau.
Netizen mulai ‘tercari-cari’ jawapan
Tampil menjawab persoalan hangat itu di ruangan replies, Rozi menjelaskan bahawa Siti tidak dapat menggayakan topi pemberian mendiang kerana ia tidak sesuai dengan penampilannya pada malam berkenaan.
“Siti tak pakai topi tu sebab tak sesuai dengan penampilan. Kalau semak semula, beliau menggayakan baju kebaya labuh dan seluar sewaktu menyampaikan persembahan lagu Seindah Biasa,” jelasnya.
Mengulas mengenai keberadaan topi berkenaan ketika ini, Rozi berseloroh bahawa aksesori bersejarah itu mungkin sudah tidak ada lagi memandangkan tempoh masa yang terlalu lama.
“Kalau tanya mana topi tu? Dah 21 tahun, mungkin dekat rumah lama atau memang dah tak ada. Dah terlalu lama sangat,” katanya lagi.
Mendiang Chester Bennington menghembuskan nafas terakhir pada Julai 2017 ketika berusia 41 tahun. Beliau cukup dikenali sebagai tunggak utama Linkin Park yang pernah memecah carta dunia menerusi deretan lagu ikonik seperti In The End, Numb, dan What I’ve Done.
Sumber: Harian Metro, Threads

11 hours ago
12






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















