Lepasan Tahfiz Uec Sambung Ipta

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini bersetuju untuk membuka laluan kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) kepada pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan bagi mengikuti program pengajian tertentu.

Aliran yang dimaksudkan adalah:

  • Sekolah atau institusi tahfiz
  • Sekolah swasta serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 14 Mei 2026, perkara itu dipersetujui dalam keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.

Katanya, ia sebahagian usaha memperkasa akses pendidikan tinggi negara secara lebih inklusif tanpa menjejaskan standard akademik dan kualiti sistem pendidikan tinggi.

Artikel berkaitan: Keputusan UPU Lepasan SPM Keluar 22 Mei, Semakan Dibuka Tengah Hari

Artikel berkaitan: “Saya sangat terharu” – Dapat 11A+ Dalam SPM, Pelajar Ini Harap Jadi Pembakar Semangat Buat Yang Lain

Pix 3 1

Boleh mohon mana-mana program pengajian jika ada SPM

Menurut KPT, bagi calon daripada aliran terbabit yang turut memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh, mereka boleh memohon mana-mana program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit berdasarkan pakej mata pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Ia juga tertakluk kepada syarat am dan khas program yang ditetapkan universiti menerusi proses pemilihan meritokrasi.

Selain itu, bagi calon-calon aliran tersebut yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan diperakui oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dipertimbang untuk mengikuti program-program tertentu di IPTA berdasarkan kesesuaian bidang pengajian dan keperluan semasa.

4 program untuk lepasan tahfiz

Antara program dikenal pasti untuk calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz ialah:

  • Diploma dan Sarjana Muda Dakwah
  • Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah
  • Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz
  • Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah)

4 program untuk lepasan UEC

Manakala bagi calon lepasan SMPC/UEC pula, antara program dikenal pasti ialah:

  • Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian
  • Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina
  • Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina
  • Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan

Tegas KPT, semua permohonan akan diproses berdasarkan prinsip meritokrasi, syarat kelayakan akademik serta tertakluk kepada ketetapan dan keputusan Senat Universiti.

Sumber: Buletin TV3

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.