Lelaki yang menjadi sasaran segelintir pihak tampil bersuara berhubung isu kematian seekor anjing bernama Rocky dalam kejadian di Taman Telok Gedong Indah, Klang pada 29 Julai lalu.
Muhammad Shah Hizam, 24, atau lebih dikenali sebagai Shah mendakwa dia kini hidup dalam tekanan akibat kecaman dan ugutan bunuh yang diterimanya.
Shah menegaskan dia langsung tiada niat untuk mencederakan atau membunuh mana-mana haiwan. Dia sendiri tumpang berduka atas kematian Rocky dan cuma berada di lokasi untuk menjalankan tugas.
“Saya tidak hadir pada malam itu dengan niat untuk mencederakan, jauh sekali untuk membunuh mana-mana haiwan,” katanya.

Artikel berkaitan: Insiden Kematian Rocky: Datuk Bandar MBDK Tegaskan Tangkapan Ikut SOP
Artikel berkaitan: Penunggang Motosikal Koma Seminggu Selepas Dikejar Anjing Liar Mungkin Alami Kecederaan Otak Kekal
12 anjing liar lain tidak cedera
Sementara itu, peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Shah hadir atas jemputan rasmi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi membantu Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK). Malah, alat penjerut (loop) yang digunakan ketika itu dibekalkan sendiri oleh MBDK.
Menurut Rafique, kekecohan berlaku apabila seorang wanita yang mengaku pemilik Rocky tiba-tiba datang menghalang anjing itu dibawa pergi.
“Berdasarkan apa yang Shah lihat sendiri, wanita tu tiba-tiba datang peluk dan duduk atas badan Rocky sebab nak halang anjing tu dibawa pergi.
“Waktu itu berlaku tarik-menarik sedangkan alat loop masih ada kat leher Rocky. Keadaan jadi tegang dan sangat kelam-kabut,” katanya.
Pada malam operasi tersebut, 12 ekor anjing liar berjaya ditangkap tanpa sebarang kecederaan, hanya Rocky yang disahkan mati akibat kekecohan tersebut.

Dalam pada itu, pihak peguam turut menepis gambar imbasan X-ray yang kononnya tulang belakang Rocky patah dipukul, dan mengesahkan maklumat itu adalah palsu.
Sedia heret pemfitnah ke mahkamah
Akibat video tular itu, Shah menjadi mangsa buli siber yang ekstrem, malah ada yang mendoakan kecelakaan terhadap keluarganya.
Sehubungan itu, pasukan peguam Shah kini sedang giat mengumpul serta mendokumentasikan segala komen berbaur ugutan dan fitnah di media sosial.
Pihaknya menegaskan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sivil dan saman fitnah terhadap mana-mana individu atau portal yang telah mencetuskan provokasi serta memburukkan nama Shah.
Sumber: Harian Metro

7 hours ago
7






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















