Kalau korang perasan, rusuhan rakyat semakin kerap berlaku di beberapa negara. Setiap kali rusuhan berlaku, ribuan orang akan membanjiri jalan raya bagi meluahkan rasa tak puas hati mereka terhadap isu yang terbabit.
Fenomena ini jelas menunjukkan bagaimana suara rakyat boleh menjadi semakin lantang apabila tekanan mereka sudah sampai ke kemuncak.
Contoh yang paling terdekat ialah Indonesia, kerana demonstrasinya sehinggakan membabitkan nyawa orang awam. Tapi sebenarnya, bukan Indonesia je. Ada juga negara lain yang rakyatnya bangkit dan pilih jalan turun demonstrasi demi tuntutan dan perjuangan rakyat. Jom kita tengok negara mana yang pernah berdepan dengan rusuhan rakyat.
Nepal
Minggu lepas, kerajaan Nepal telah bertindak menyekat akses ke beberapa platform media sosial sehinggakan menyebabkan rusuhan besar-besaran. Antara platform yang terkesan termasuklah Facebook, Instagram, WhatsApp, YouTube, Tencent, Snapchat, Pinterest dan X.
Secara rasminya, langkah itu dibuat kerana terdapat syarikat gagal mendaftar dengan Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat sebelum tarikh akhir, disamping untuk membendung masalah penipuan dalam talian, berita palsu dan hasutan kebencian (hate speech).
Tapi di sebalik penjelasan itu, sebelum berlakunya sekatan, media sosial Nepal dibanjiri dengan kempen ”nepo kid” yang mendedahkan gaya hidup mewah anak-anak ahli politik serta tuduhan rasuah terhadap keluarga elit. Golongan muda marah dengan sekatan media sosial ini kerana platform itulah yang mereka gunakan untuk menegur gaya hidup mewah ahli politik dan penjawat awam.
Jadi tidak hairanlah apabila majoriti yang turun berdemonstrasi di Kathmandu ialah anak-anak muda yang masih bersekolahan dan mahasiswa universiti. Oleh demikian, protes ini digelar sebagai ‘demonstrasi Gen Z’, melambangkan kebangkitan generasi baru yang menolak kawalan kerajaan.
Namun pada 8 September, seramai 19 orang terbunuh dan lebih 100 orang cerdera apabila rakyat yang protes ini mula bertindak merusuh. Kompleks Parlimen diserbu, ambulans dibakar, dan harta benda awam turut dimusnahkan.
Pasukan keselamatan cuba untuk meleraikan keadaan dengan gas pemedih mata, meriam air, baton dan peluru getah. Tentera juga dikerahkan dan perintah berkurung dikuatkuasakan, namun peserta protes ini tetap melanggar arahan.
Rusuhan ini mula reda selepas sekatan terhadap media sosial ditarik balik, namun mesej rakyat yang melakukan rusuhan ini masih jelas, iaitu kemarahan mereka bukan hanya disebabkan soal akses ke platform digital semata-mata. Ia jauh lebih besar dari itu, terutamanya kekecewaan mereka terhadap rasuah dalam golongan elit dan penderitaan ekonomi yang sudah lama dipikul oleh rakyat Nepal.
Artikel Berkaitan: Kerajaan Nepal Tumbang: Rumah Ahli Politik Dibakar, Pemimpin Dic*mpak Ke Sungai & Menteri Dip*kul – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Saksi Kongsi Pengalaman Tragedi Polis Rempuh Affan Kurniawan Di Jakarta – Lobak Merah
Perancis
Di Perancis pula, kebangkitan gerakan rakyat baharu yang dinamakan ‘Block Everything’ (Bloquons tout) mula jadi bualan bila ribuan orang turun demonstrasi pada 10 September. Protes kali ini berbeza dengan yang sebelumnya kerana gerakan ini lahir di media sosial dan bergerak secara bebas, dengan menggunakan slogan “boikot, ketidakpatuhan, solidariti”. Hashtag #10septembre dan #10septembre2025 tersebar luas di X, TikTok, Telegram dan Facebook untuk mengajak rakyat menyertai aksi.
Dalam seruan mereka pada tarikh itu, tertera sebuah mesej dimana mereka betul-betul tunjuk kuasa mereka yang sebenar sebagai rakyat.
“Kami takkan bayar lagi, kami takkan berbelanja lagi, kami takkan bekerja lagi, dan kami akan biarkan anak-anak kami di rumah. Satu-satunya kuasa yang kami ada hanyalah boikot semuanya.” kata rakyat yang berprotes.
Protes kali ini bukan sekadar demonstrasi yang biasa. Orang ramai diajak boikot kedai besar seperti Carrefour dan Amazon, selain mengeluarkan simpanan mereka dari bank sebagai simbol penentangan terhadap sistem kewangan.
Meskipun sasaran utama mereka untuk ‘block everything’ tidak tercapai sepenuhnya, namun protes ini telah menyebabkan gangguan besar di seluruh negara, terutamanya apabila lebuh raya disekat di Bordeauz hingga kebakaran kabel yang menjejaskan laluan kereta api di Toulouse. Di Paris, puluhan orang telah ditahan, manakala di bandar lain seperti Marseille, Nantes dan Lyon turut berlaku sekatan jalan raya.
Protes ini tercetus disebabkan gara-gara cadangan bajet 2026 oleh Perdana Menteri François Bayrou, dimana beliau merancang untuk potong €43.8 bilion daripada perbelanjaan negara. Antara langkah yang mencetus kontroversi ini adalah pemotongan dua cuti umum, pembekuan pencen dan pengurangan €5 bilion dalam sektor kesihatan. Bagi rakyat yang sudah lama tertekan dengan krisis kos sara hidup, pelan perancangan ini hanya menambah kesengsaraan hidup rakyat saja.
Gerakan ini banyak disokong oleh penyokong Jean-Luc Mélenchon, bekas ahli parlimen yang popular dalam kalangan rakyat biasa. Kajian juga mendapati hampir 70 peratus daripada mereka yang menyertai protes ini ialah pengundi Mélenchon pada pilihan raya 2022.
Tapi pada masa yang sama, kebanyakan kesatuan buruh memilih untuk tidak ikut serta 10 September kerana lebih pada menunggu aksi besar mereka sendiri pada 18 September. Jadi, krisis politik menambah lagi ketidakstabilan apabila Bayrou sendiri terpaksa meletak jawatan selepas gagal mendapatkan sokongan Parlimen bagi bajet penjimatan defisitnya.
Dalam tempoh sembilan bulan sahaja, Perancis sudah menyaksikan dua perdana menteri meletak jawatan. Michel Barnier berundur pada Disember selepas kalah undi tidak percaya, dan penggantinya, François Bayrou, juga meletak jawatan selepas gagal mendapat sokongan Dewan Negara bagi bajet pemotongan defisit.
Keadaan ini akhirnya meninggalkan negara tanpa kepimpinan yang jelas sehinggakan rakyat lebih yakin dengan suara mereka yang lebih kuat berbanding Dewan Parlimen mereka.
Bangladesh
Tahun lepas, protes besar-besaran meletus di Bangladesh akibat dasar kuota pekerjaan kerajaan. Sistem ini memperuntukkan sehingga 56% jawatan perkhidmatan awam kepada kumpulan tertentu, termasuk 30% khas untuk anak-anak pejuang kemerdekaan 1971.
Dasar itu sebenarnya diperkenalkan oleh Sheikh Mujibur Rahman, iaitu bapa kepada Perdana Menteri ketika itu, Sheikh Hasina.
Ramai pelajar marah kerana mereka mendakwa sistem kuota itu tidak adil dan menutup peluang pekerjaan, sedangkan graduan sudah pun berdepan krisis pengangguran. Statistik menunjukkan hampir 32 juta anak muda tidak bekerja atau tidak meneruskan pendidikan.
Sheikh Hasina menjadi tumpuan kemarahan rakyat kerana mempertahankan sistem kuota yang diwarisi daripada bapanya. Lebih buruk lagi apabila beliau turut dituduh membiarkan penyokong parti pimpinannya, Liga Awami, mendapat manfaat daripadanya.
Jadi, protes pun bermula pada Julai 2024 apabila anak-anak muda ini berkumpul di jalan raya dan menutup laluan utama, termasuk landasan kereta api sebagai cara menarik perhatian pihak kerajaan.
Pada mulanya, mereka hanya menuntut supaya lebih banyak jawatan diberikan berdasarkan merit, tetapi keadaan mula bertukar ganas selepas berlaku pertembungan antara polis dan kumpulan pelajar pro-kerajaan. Dalam beberapa minggu selepas itu, universiti diarahkan tutup, internet disekat, banyak bangunan telah dibakar dan ratusan orang difahamkan terbunuh dalam rusuhan tersebut.
Gelombang kemarahan rakyat akhirnya menjadikan Sheikh Hasina sebagai sasaran utama. Beliau dilihat mempertahankan sistem kuota yang diwarisi daripada bapanya, akhirnya gagal mengawal rusuhan yang merebak ke seluruh negara.
Pada Ogos 2024, selepas kediaman rasmi perdana menteri diserbu, Sheikh Hasina meletakkan jawawatan dan meninggalkan Bangladesh.
Senegal
Krisis politik di Senegal telah berlaku sejak 2023 dan ianya banyak berpunca daripada seorang pembangkang bernama Ousmane Sonko. Pemimpin parti PASTEF ini menjadi ikon bagi golongan muda kerana lantang menentang rasuah dan nepotisme kerajaan.
Namun pada Jun 2023, beliau dijatuhkan hukuman penjara atas tuduhan ‘mengoda wanita muda’ dan kes ini ramai pihak menganggap ia merupakan motif politik sehingga mencetuskan rusuhan besar di Dakar, di mana melibatkan beberapa nyawa rakyat terbunuh selepas pertembungan dengan polis.
Ketegangan semakin memuncak apabila kerajaan pimpinan Presiden Macky Sall bertindak untuk menangguhkan pilihan raya yang sepatutnya berlangsung pada Februari 2024. Rakyat Senegal melihat isu ini sebagai cubaan kerajaan untuk mengekalkan kuasa dengan lebih lama.
Jadi, protes pun meletus lagi di ibu kota Dakar sehinggakan menyebabkan penyekatan internet, penutupan universiti, serta melibatkan keganasan antara rakyat yang berprotes dan pasukan keselamatan.
Pada Mac 2024, Basirou Diomaye Faye iaitu sekutu rapat Ousmane Sonko yang sepatutnya dipenjarakan juga, telah dibebaskan hanya beberapa hari sebelum pilihan raya. Beliau telah diangkat menjadi sebagai presiden dan telah mencatat sebagai presiden Senegal yang termuda pada usia 44 tahun. Tidak lama itu, beliau menunaikan janji politik dengan melantik Ousmane Sonko sebagai Perdana Menteri.
Oleh itu, apa yang berlaku di Bangladesh, Senegal, Nepal, Perancis, mahupun di Indonesia, menunjukkan bahawa rakyat tidak akan terlibat dengan demonstrasi tanpa sebab. Setiap rusuhan dan protes lahir daripada rasa kecewa yang telah dipupuk bertahun-tahun lalu, sama ada kerana beban ekonomi, sistem yang tidak adil, atau kerajaan yang hanya mahu mengekalkan kuasa sendiri.
Perkara ini sesungguhnya patut dijadikan sebagai pengajaran. Bila suara rakyat diketepikan terlalu lama, rakyat jadi terdesak untuk bersuara demi menuntut hak mereka.
Sumber: BBC, Al Jazeera, Reuters, Sinar Harian, Astro Awani