Selepas enam tahun berbakti serta mengukir sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan Ketua Hakim Negara yang ke-10 , Yang Amat Arif (YAA) Tun Tengku Maimun Tuan Mat secara rasmi menamatkan perkhidmatannya pada Rabu (2 Julai).
Sepanjang beliau mengemudi badan kehakiman negara, beliau menempuh pelbagai cabaran termasuklah pandemik covid-19, kes kehakiman berprofil tinggi serta perbicaraan jenayah yang melibatkan ahli politik.
Anak jati Kota Bharu, Kelantan ini bangga kerana dapat memikul amanah dan menyempurnakan tugas sebagai hakim tertinggi negara.
Latar belakang Tengku Maimun
Tengku Maimun binti Tuan Mat adalah Ketua Hakim Negara Malaysia yang ke-10 dan wanita pertama yang memegang jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara tersebut. Beliau dilahirkan pada 2 Julai 1959 di Kota Bharu, Kelantan.
YAA Tun telah lulus dalam bidang pengajian undang-undang dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya pada tahun 1982.
Artikel berkaitan: Ketua Hakim Negara Dakwa Terima Ugutan Bunuh Ketika Pengerusikan Panel Rayuan Najib Razak
Artikel berkaitan: Rayuan Najib Gagal Disebabkan Dirinya Sendiri? Ini Penjelasan Hakim
Kerjaya
YAA Tun telah memulakan kerjaya dalam bidang perundangan pada tahun 1982 dengan bertugas sebagai Pegawai Undang-Undang di Lembaga Kemajuan Kelantan (KESEDAR) dan kemudian pada tahun 1984 sebagai Pegawai Undang-Undang di Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan.
Pada 2 Oktober 2006, Yang Amat Arif Tun telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur. Pada 5 September 2007, Yang Amat Arif Tun telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur. Yang Amat Arif Tun juga pernah berkhidmat sebagai Hakim di Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam, Selangor.
Pada 8 Januari 2013, Yang Amat Arif Tun telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan. Pada 26 November 2018, Yang Amat Arif Tun telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. Pada 2 Mei 2019, Yang Amat Arif Tun telah dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, menggantikan Tan Sri Richard Malanjum.
Penghakiman penting
Ini merupakan antara penghakiman yang membuktikan keberanian dan keteguhan prinsip Tengku Maimun dalam mempertahankan perlembagaan dan keadilan.
Antaranya termasuk keputusan dalam Nivesh Nair v Datuk Abdul Razak Musa yang menolak penggunaan ouster clause oleh Parlimen untuk menghalang semakan kehakiman serta Nik Elin Zurina vs Kerajaan Negeri Kelantan yang memperjelas batas bidang kuasa kerajaan negeri dan persekutuan.
Dalam kes percukaian Kind Action Sdn Bhd vs Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, beliau menetapkan prinsip penting pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah penilaian cukai selepas ia dimuktamadkan.
Beliau turut mempertahankan prinsip legal profesional privilege dalam kes Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri vs Majlis Peguam Malaysia serta menghasilkan satu-satunya penghakiman berbeza dalam kes Indira Gandhi vs Ketua Polis Negara yang kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Difahamkan, sebelum bersara wajib, Tengku Maimun menyempurnakan tugasnya sebagai Ketua Hakim Negara dengan mempengerusikan dua prosiding termasuk rayuan akhir kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais.
Sumber: Malay Mail, Malaysia Gazette, Kehakiman