Belakangan ini, isu kekurangan doktor dan jururawat di hospital kerajaan kembali menjadi bualan ramai di media sosial.
Isu ini juga telah menyebabkan pesakit perlu menunggu bagi tempoh lama sebelum menerima konsultasi atau rawatan seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Dalam satu hantaran tular yang dikongsikan, memaparkan notis di Klinik Ortopedik Hospital Sungai Buloh (HSGB).
Berdasarkan notis tersebut, terdapat seramai 300 orang pesakit di klinik berkenaan namun hanya tiga pegawai perubatan dengan seorang pakar yang bertugas.
Notis itu memaklumkan bahawa waktu menunggu bagi pesakit mendapatkan rawatan mungkin lebih lama berbanding biasa memandangkan terdapat kekangan sumber tenaga kerja.
Artikel berkaitan: Teruk Dikecam, Menteri Kesihatan Beri Respon Isu Jemput Siti Nurhaliza Ke Rumah Terbuka KKM
Artikel berkaitan: Vaksin COVID-19: 8 Rakyat Malaysia Fail Saman RM60 Juta Terhadap 25 Defendan Termasuk KKM & WHO
KKM perjelas notis di HSGB
Susulan isu itu menjadi perbincangan hangat netizen, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tampil memberikan penjelasan berkenaan isu kesesakan yang berlaku pada 30 Jun lalu di hospital berkenaan.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, KKM memaklumkan seramai 158 pesakit telah hadir ke klinik berkenaan pada hari tersebut dan dikendalikan oleh tiga pakar serta tiga pegawai perubatan yang bertugas mengikut jadual serta kapasiti sedia ada.
Menurut KKM, angka yang tular melebihi 300 orang dipercayai turut merangkumi ahli keluarga dan penjaga pesakit.
“Ini adalah amalan biasa di fasiliti kesihatan awam, khususnya bagi warga emas dan kanak-kanak.
“Kami memahami kesulitan yang dihadapi pesakit dan keluarga, terutama berkaitan masa menunggu.”
Dalam pada itu, KKM mengakui beban kes yang dihadapi di hospital rujukan seperti HSGB dan sedang berusaha untuk melakukan penambahbaikan untuk memperbaiki aliran pesakit.
Bagaimanapun, netizen di ruangan komen berharap KKM lebih memfokuskan isu kekurangan pegawai di hospital kerajaan.
Sumber: X