Kita digemparkan dengan berita menyayat hati apabila 6 sekeluarga yang hilang sejak Sabtu lepas akhirnya ditemui pagi tadi dalam keadaan yang mengharukan. Kereta mereka terbabas dan tenggelam di Sungai Korok yang terletak di Jitra Kedah.
Berikutan dengan kejadian tersebut difahamkan orang ramai memohon agar pihak berkuasa yang terlibat untuk memasang penghadang di sepanjang Jalan Sungai Korok ini.
Artikel berkaitan : 6 Sekeluarga Hilang Ditemui Lemas, Kereta Tenggelam Di Sungai Korok
Artikel berkaitan : “Malam tu mereka kata mengantuk, saya suruh tidur dulu” – Adik 6 Beranak Terkorban Di Sungai Korok
Ini kerana, menurut seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Hi Rule, lelaki ini ada membuat carian dan mendapati kawasan tersebut dikatakan sering kali berlakunya kes kemalangan maut.
“Kalau tengok Google map, Jalan Sg Korok yang ada Sg Korok di sebelahnya memang agak panjang. Berbelas, maybe puluh KM? Mungkin orang tempatan Jitra boleh beri info.”
Menurutnya pernah ada kes kenderaan terbabas dan tenggelam pada tahun 2018, 2021, dan 2021 yang lepas. Dengan hasil pencariannya, ia menarik perhatian min juga untuk kongsikan antara beberapa kejadian kemalangan maut yang berlaku di Sungai Korok ini.
1. Kanak-kanak 4 tahun maut, kereta terjunam ke dalam Sungai Korok
Pada bulan Disember 2021, terdapat satu kes yang melibatkan seorang kanak-kanak berusia 4 tahun maut selepas kereta yang dinaiki bersama ahli keluarganya terjunam ke dalam Sungai Korok.
Mangsa yang dikenali sebagai Haraz Haniz disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Jitra.
Bagaimanapun, ibu bapa mangsa iaitu Haniz Mohamad, 35 dan Nurul Syahira Zamri, 34 mengalami kecederaan ringan dan luka di dahi. Manakala seorang lagi anak mereka yang berumur 2 tahun masih dirawat di Zon Merah Hospital Jitra.
2. Kanak-kanak 12 tahun lemas
Sekitar 14 Disember 2022, Harian Metro melaporkan bahawa terdapat kemalangan daripada sebuah kereta terjatuh ke dalam Sungai Korok. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.39 petang pada hari tersebut. Ketika kejadian, dilaporkan bahawa kanak-kanak berusia 12 tahun masih hilang sementara ibu bapanya selamat.
Kata beliau lagi, kanak-kanak berusia 12 tahun itu masih berada di dalam kereta berkenaan pada hari kejadian. Namun, tidak lama selepas itu, Astro Awani melaporkan bahawa mangsa ditemui kira-kira jam 3.30 petang.
Mangsa dilihat berada di dalam kereta di tempat duduk penumpang di bahagian belakang. Dalam kejadian itu bapa mangsa tidak mengalami kecederaan sementara ibu mangsa yang sedang mengandung 7 bulan dihantar ke Hospital Jitra untuk pemeriksaan lanjut.
3. Mayat lelaki terapung dalam Sungai Korok
Pada bulan Mei 2018, mayat seorang lelaki ditemui terapung di dalam Sungai Korok. Menerusi Harian Metro, mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Al-Azim Azmi 22, yang berasal Kampung Alor Peir, Mukim Gunung, Alor Setar, ditemui orang awam 6 petang, 17 Mei 2018.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, polis ada menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai penemuan mayat itu.
Katanya, hasil pemeriksaan pada mayat itu mendapati bahawa tiada sebarang kecederaan dan sebarang unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber : Facebook, Kosmo!, Harian Metro, Astro Awani