Misteri kehilangan seorang penuntut warga Myanmar di sebuah universiti swasta di Cheras sejak 9 Julai lalu terungkai apabila pihak polis mengesahkan mangsa maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 26 sebuah kondominium di Taman Connaught, Cheras.
Menurut laporan Berita Harian, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 8.30 pagi, 9 Julai lalu sebelum siasatan lanjut dijalankan.
“Siasatan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi juga mengesahkan mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 26 bangunan kondominium terbabit.
Bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) mendapati punca kematian adalah akibat jatuh dari tempat tinggi,” katanya.
Difahamkan, bapa mangsa berusia 54 tahun yang bekerja sebagai peniaga di Myanmar hadir ke Jabatan Forensik HCTM semalam untuk mengecam jenazah anaknya berdasarkan tanda lahir di bahagian pinggang kiri.
Pihak keluarga memaklumkan mayat Sithu Hpone Maw, 20, akan dibawa pulang ke Myanmar pada 22 Julai ini. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sebelum ini, tular di media sosial berkenaan kehilangan seorang penuntut warga Myanmar di Universiti UCSI yang dilaporkan gagal dikesan sejak minggu lalu.
Ridzuan dilaporkan berkata laporan kehilangan Hpone Maw dibuat wakil pihak pengurusan UCSI pada jam 9.05 malam Isnin lalu, tadi selepas penuntut terbabit gagal dikesan sejak 9 Julai lalu.