Bermula hari ini, cubaan membunuh diri tidak lagi dikategorikan sebagai kesalahan jenayah di Malaysia, sekali gus menghapuskan hukuman penjara atau denda terhadap individu yang cuba menamatkan hidup mereka.
Sebaliknya, kerajaan melalui pindaan undang-undang baharu telah memperkukuh peranan pegawai yang berkuasa untuk menyelamatkan individu terlibat dan memastikan mereka segera mendapat rawatan perubatan.
Artikel berkaitan: Ibu Ingin Saman Pencipta ‘Chatbot A.I’, Dakwa Jadi Punca Anak B*nuh Diri
Artikel berkaitan: Remaja 18 Tahun Tergamak B*nuh Ibu Sedang Solat Dengan Les*ng Batu, Didakwa Alami Sakit Mental
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sempena penguatkuasaan tiga undang-undang baharu berkuat kuasa hari ini bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2025.
Ketiga-tiga undang-undang tersebut telah diluluskan di Parlimen pada 2023, namun hanya diwartakan untuk berkuat kuasa pada 10 September 2025.
“Itulah harapan kerajaan Madani, agar reformasi undang-undang ini menjadi anjakan besar dalam usaha mencegah cubaan bunuh diri di Malaysia, menggalakkan mereka yang terjejas untuk tampil mendapatkan bantuan, menghapuskan stigma, serta menurunkan kadar kematian akibat bunuh diri,” menurut kenyataan itu.
Walau bagaimanapun, perbuatan membantu orang lain untuk membunuh diri atau mencuba membunuh diri kekal sebagai kesalahan jenayah.
Selain itu, pindaan Akta Kesihatan Mental 2001 memperkenalkan peranan Pegawai Intervensi Krisis yang terdiri daripada polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Tambah kenyataan itu, mereka diberikan kuasa membawa individu yang cuba membunuh diri ke hospital psikiatri untuk pemeriksaan serta rawatan awal.
Sumber: Malay Mail