Kenali Greta Thunberg, Aktivis Muda Yang Mencabar Sekatan Isr*el Terhadap G*za

14 hours ago 8

Minggu lepas boleh dikatakan memang dahsyat apabila misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2025 betul-betul menarik perhatian dunia. Aktivis dan sukarelawan dari pelbagai negara bersatu untuk membawa mesej kemanusiaan ke Gaza.

Pelbagai nama besar yang turut serta misi GSF dan negara kita juga tidak ketinggalan dengan penyertaan wartawan Zainal Rashid Ahmad, selebriti Zizi Kirana, PU Rahmat dan ramai lagi yang menjadi antara sukarelawan misi tersebut.

Antara aktivis yang sering disebut-sebut dalam misi GSF ini ialah Greta Thunberg, seorang gadis muda dari Sweden yang berani melawan sistem, lantang menegur pemimpin dan kini menjadi salah seorang aktivis yang mencabar sekatan Israel terhadap Gaza.

Beliau sudah mula berprotes sejak berumur 15 tahun lagi, membuktikan bahawa beliau sangat tekad dan mempunyai prinsip yang teguh walaupun usianya masih muda.

Latar belakang Greta Thunberg

greta forbes

Greta Tintin Eleonora Ernman Thunberg dilahirkan pada 3 Januari 2003 di Stockholm, Sweden. Ibu beliau, Malena Ernman merupakan seorang penyanyi opera, manakala bapanya iaitu Svante Thunberg pula bekerja dalam bidang seni sebagai seorang pelakon.

Sejak kecil, Greta sudah menunjukkan minat terhadap isu alam sekitar. Beliau mula mengambil berat mengenai perubahan iklim ketika berusia sekitar lapan tahun dan kemudian pengetahuan itu membentuk pandangannya bahawa tindakan manusia terhadap alam perlu dibendung sebelum terlambat.

Namun begitu, sepanjang zaman remajanya, Greta turut menghadapi cabaran dari segi emosi dan kesihatan mental. Menurut bapanya, sekitar usia 11 hingga 12 tahun, Greta menghadapi kemurungan yang serius.

“Dia mula tak bercakap… dia berhenti pergi ke sekolah.”

Dan pada sekitar usia itu juga, beliau telah didiagnosis menghidap Sindrom Asperger, iaitu salah satu bentuk spektrum autisme, di samping mengalami gangguan obsesif kompulsif dan mutisme selektif yang menyebabkan kesukaran untuk bercakap dalam situasi sosial tertentu.

Greta sendiri menyifatkan diagnosis tersebut sebagai keistimewaan yang beliau ada untuk terus berjuang dalam mempertahankan alam sekitar.

Artikel Berkaitan: “Ditangkap pun cukup gagah & redha” – Kelibat Sukarelawan Malaysia Dalam Video Menteri Israel Hina Aktivis Flotila – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: “Tapi yang paling kuat semangat” – Peserta GSF Dedah Sukaralewan Malaysia Paling Teruk ‘Kena’ Dengan Israel – Lobak Merah

Macam mana Greta boleh jadi aktivis? 

Antara langkah terbesar dalam kehidupannya adalah dengan menjadi perhatian global pada musim panas 2018 ketika beliau berumur 15 tahun. Greta melancarkan kempen School Strike for Climate di Stockholm iaitu dengan cara duduk di luar bangunan Parlimen Sweden sambil membawa papan tanda bertulis ‘Skolstrejk för klimatet’ iaitu mogok sekolah untuk iklim.

Mogok ini kemudiannya menjadi satu simbol gerakan yang dinamakan sebagai Fridays for Future dan menariknya juga, mogok ini telah menggerakkan jutaan pelajar di seluruh dunia untuk menuntut tindakan segera terhadap perubahan iklim.

Menurut bapanya, Greta mula kelihatan lebih ceria selepas berkempen, memandangkan dia pernah mengalami kemurungan yang panjang sebelum itu.

Pada tahun 2023, Greta telah menamatkan pengajian sekolah menengah dan secara rasminya menghentikan mogok sekolah mingguannya. Walau bagaimanapun, perjuangannya tidak berhenti di situ kerana beliau terus aktif dalam demonstrasi aman dan pernah beberapa kali ditahan dalam protes alam sekitar di beberapa negara.

Reaksi ayahnya terhadap perjuangan Greta 

ayah greta

Menurut BBC, ayah kepada Greta, iaitu Svante Thunberg, pernah diwawancara bersama dan mengakui bahawa beliau tidak menyokong keputusan anaknya untuk ponteng sekolah demi mogok iklim. Walaupun jutaan orang terinspirasi dengan tindakan anaknya, namun Svante mengakui bahawa sebagai seorang ayah, hatinya lebih banyak dipenuhi rasa risau dan takut berbanding rasa bangga pada waktu itu.

Svante menjelaskan bahawa Greta mengalami kemurungan teruk selama tiga atau empat tahun sehinggakan dia tidak mahu ke sekolah, sebelum menjadi aktivis. Pada waktu itu, Greta juga sering menolak untuk makan sehinggakan Svante menyifatkan perkara tersebut sebagai ‘mimpi ngeri bagi seorang ibu bapa’ apabila melihatkan keadaan anaknya sebegitu.

Namun, setelah Greta mula memahami isu perubahan iklim dan meneliti kesannya terhadap masa depan manusia, dia menjadi semakin bersemangat dan hidupnya berubah sepenuhnya. Greta bahkan pernah menuduh ibu bapanya sebagai ‘hipokrit’ kerana tidak benar-benar mengamalkan gaya hidup mesra alam walaupun mereka aktif memperjuangkan hak asasi manusia.

“Greta bertanya kepada kami, ‘Hak asasi manusia siapa yang kamu perjuangkan, kalau kamu sendiri tak ambil serius isu iklim ini?’” kata Svante dalam wawancara tersebut.

Kata-kata itu terus menjadi titik perubahan keluarga Thunberg di mana mereka mula mengubah gaya hidup mereka. Malah, ibu Greta iaitu Malena juga berhenti menaiki kapal terbang, manakala Svante memilih untuk menjadi vegan sepenuhnya.

Svante juga difahamkan pernah menemani Greta dalam beberapa ekspedisi kapal layar ke pelbagai sidang kemuncak PBB kerana Greta menolak untuk menaiki kapal terbang ekoran impak karbon yang tinggi.

“Saya buat semua ini, bukan untuk selamatkan iklim, tapi untuk selamatkan anak saya. Saya cuma mahu dia bahagia,” ujar Svante.

Meskipun Svante mengatakan bahawa anaknya menjadi lebih ceria berbanding waktu-waktu gelap sebelum menjadi seorang aktivis, hatinya tetap tidak lari daripada rasa bimbang. Sejak anaknya mula melancarkan kempen mogok, Greta sering berdepan dengan gelombang kebencian dan ejekan.

“Yang paling saya risau ialah berita palsu dan kebencian yang datang daripada orang yang tak mahu berubah,” kata Svante.

Pencapaian Greta Thunberg 

greta book

Sebagai aktivis muda, Greta Thunberg telah memberi impak besar di peringkat global melalui perjuangannya dalam isu perubahan iklim. Greta pernah berucap di pelbagai forum antarabangsa termasuk Persidangan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di mana beliau lantang menuntut tindakan tegas daripada para pemimpin dunia, bukan sekadar janji kosong.

Antara ucapannya yang paling diingati ialah ucapan How dare you? yang menjadi simbol keberanian generasi muda dalam menuntut keadilan iklim. Atas keberaniannya itu, beliau telah diiktiraf oleh Time Magazine sebagai Person of the Year 2019, menjadikannya antara individu termuda pernah menerima penghargaan tersebut.

Di samping itu, beliau juga merupakan penulis kepada buku No One Is Too Small to Make a Difference yang diterbitkan pada tahun 2019 dan The Climate Book: The Facts and the Solutions pada tahun 2023. Dokumentari tentang perjalanan aktivismenya, I Am Gretaturut diterbitkan pada tahun 2020.

Kini, selepas lama bergiat aktif dalam perjuangan iklim, Greta Thunberg turut menyertai GSF sebagai salah seorang peserta bagi menyeru perhatian global terhadap penderitaan rakyat Gaza. Namun begitu, beliau dilaporkan telah ditahan oleh tentera Israel ketika flotila disekat dalam perjalanan ke Gaza.

Menurut laporan media, Greta kini berada dalam tahanan dan menunggu proses pelepasan oleh pihak berkuasa Israel. Beberapa media antarabangsa menyatakan bahawa beliau mungkin akan dideportasi ke negara ketiga.

Sementara itu, beberapa aktivis yang telah dibebaskan mendakwa bahawa semasa dalam tahanan, Greta dan yang lain telah menerima layanan yang tidak wajar iaitu mereka mengalami kekurangan makanan dan air, keadaan sel yang kurang bersih serta diberi tekanan psikologi, lapor media antarabangsa.

Walau apa pun yang sedang dilalui oleh Greta Thunberg sekarang, keberaniannya untuk berdiri di barisan hadapan dalam memperjuangkan hak asasi rakyat Palestin tetap mengundang rasa hormat dari seluruh negara. Dari seorang remaja yang duduk di hadapan parlimen Sweden sendirian, kini berada di tengah-tengah misi kemanusiaan yang penuh dengan risiko.

Greta membuktikan bahawa suara anak muda mampu untuk mengegarkan dunia. Apa yang berlaku pada beliau dalam misi Global Sumud Flotilla ini akan terus menjadi peringatan kepada perjuangan untuk keadilan tidaklah semudah yang kita sangkakan.

Kisahnya juga akan menjadi inspirasi kepada orang ramai, selagi mana ada keberanian untuk bersuara, selagi tu masih ada harapan untuk melihat dunia yang lebih adil dan berperikemanusiaan.

Sumber: BBC, Al Jazeera, Britannica

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |