Akta Tahanan Rumah yang dicadangkan sejak 2024 itu antara usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menangani kesesakan penjara, khususnya melibatkan tahanan reman yang masih menunggu perbicaraan
Bila sebut Akta Tahanan Rumah, mungkin ada yang terus tertanya-tanya siapa sebenarnya yang akan ditempatkan di rumah?
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tampil menjelaskan perkara itu selepas beliau ditanya rakan-rakan media mengenai cadangan berkenaan.
Menurut Saifuddin, cadangan mewujudkan Akta Tahanan Rumah bukanlah perkara baharu.
Malah, KDN telah membawa cadangan tersebut sejak 2024 sebagai usaha menangani isu kesesakan penjara.
Ketika ini, sebanyak 41 penjara di seluruh negara menempatkan kira-kira 93,000 penghuni, sedangkan kapasiti keseluruhannya sekitar 75,000 orang.
Jadi, siapa yang boleh ditempatkan di rumah?

Saifuddin menjelaskan, cadangan itu adalah untuk tahanan reman yang memenuhi syarat, bukannya semua tahanan.
“Cadangan Akta ini adalah untuk tahanan reman yang majoriti memenuhi penjara.
“Konsep yang kita bincangkan sejak awal adalah jelas, bagi tahanan reman yang memenuhi syarat, mahkamah boleh mempertimbangkan penempatan mereka di rumah dengan pemantauan menggunakan peranti elektronik sehingga tarikh perbicaraan.
“Kes-kes jenayah berat pula memang telah dikenal pasti untuk dikecualikan daripada mekanisme ini.”
Tahanan akan dipantau menggunakan peranti elektronik

Saifuddin berkata bagi tahanan reman yang memenuhi syarat, mahkamah boleh mempertimbangkan supaya mereka ditempatkan di rumah sementara menunggu tarikh perbicaraan.
Mereka pula akan dipantau menggunakan peranti elektronik.
Cadangan ini dibawa sebagai satu pendekatan baharu yang praktikal, selamat dan terkawal bagi mengurangkan tekanan terhadap institusi penjara.
Dalam pada itu, Kabinet juga telah memberikan persetujuan secara dasar kepada KDN untuk memulakan proses penggubalan undang-undang berkenaan.
Menurut Saifuddin, matlamatnya masih sama iaitu mengurangkan kesesakan penjara dan memastikan sistem koreksional negara dapat diurus dengan lebih berkesan.
“Itulah konteks dan maksud asal Akta Tahanan Rumah yang telah kita bincangkan sejak awal.”
Sumber: Facebook Saifuddin Nasution

7 hours ago
2






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















