Jabatan Penjara Malaysia

Dakwaan mengatakan bekalan dadah mudah diperoleh dalam penjara telah dinafikan Jabatan Penjara Malaysia.

Jabatan Penjara menegaskan pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) serta peraturan ketat bagi mengawal kemasukan dan peredaran bahan terlarang dalam institusi penjara.

Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Komisioner Penjara Mohamad Rosidek Musa berkata, pihaknya sentiasa berusaha membendung sebarang salah laku dalam kalangan penghuni menerusi kawalan keselamatan dan program pemulihan.

“Tidak benar. Kita ada SOP dan peraturan kita untuk mengekang perkara-perkara negatif yang tidak baik.

“Kita akui ada perkara mungkin berlaku, tetapi tidak seperti yang didakwa,” katanya.

Artikel berkaitan: Jabatan Penjara Sangkal Dakwaan Yasin Sulaiman, Wujud Sistem Kasta Dalam Kalangan Banduan

Artikel berkaitan: Selepas 4 Tahun, Yasin Sulaiman Akhirnya Bebas & Dibenarkan Pulang Dari Hospital Bahagia

Yasin Sulaiman dakwa bekalan dadah mudah diperoleh

Terdahulu, penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman mendakwa bekalan dadah boleh menembusi penjara meskipun pemeriksaan keselamatan ketat dikenakan terhadap banduan baharu.

Dalam satu audio siar, Yasin mendakwa memang banyak dadah di dalam penjara walaupun pelbagai SOP sudah ditetapkan.

Mengulas perkara itu, Mohamad Rosidek berkata Jabatan Penjara bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek kawalan keselamatan, malah turut menekankan usaha pemulihan bagi menangani perkara negatif dalam kalangan penghuni.

“Kita dalam konteks kepenjaraan, fokus pada program pemulihan. Kita akan cuba atasi perkara-perkara yang negatif yang sedang berlaku di penjara,” katanya.

Beliau berkata, sebarang salah laku yang dikesan akan ditangani dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peraturan ditetapkan.

Malah, SOP berkaitan kawalan keselamatan dan pengurusan penjara turut dikaji dari semasa ke semasa bagi memastikan langkah sedia ada terus ditambah baik.

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.