Pelakon dan pempengaruh, Rafidah Ibrahim diarahkan membayar ganti rugi sebanyak RM281,200 kepada usahawan Datuk Haris Embong serta syarikatnya dalam tempoh tujuh hari.
Keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Tinggi selepas Haris dan syarikatnya berjaya dalam saman berhubung hantaran fitnah yang dimuat naik Rafidah di media sosial empat tahun lalu.
Hantaran berkenaan dikaitkan dengan dakwaan syarikat produk sejuk beku tersebut enggan melunaskan bayaran hasil kerjanya selepas beliau diberhentikan pada Ogos 2021.
Artikel berkaitan: “Kami tak akan berganjak!” – Rafidah Ibrahim Bersuara Isu Rumah Di Kg. Sungai Baru
Artikel berkaitan: “Pemaju dari Singapura, dah boleh berambus” – Rafidah Ucap Terima Kasih Kepada Sultan Selangor
Susulan itu, firma guaman plaintif berkata, pihaknya diarahkan oleh anak guam untuk menuntut bayaran RM281,200 iaitu jumlah keseluruhan ganti rugi dan kos mengikut penghakiman Mahkamah Tinggi.
Difahamkan, tuntutan itu membabitkan ganti rugi RM100,000 yang perlu dibayar kepada Haris, ganti rugi RM150,000 yang perlu dibayar kepada Arisprop Holdings, kos keseluruhan RM30,000 dan yuran peruntukan RM1,200.
“Kami diarahkan selanjutnya supaya anak guam anda membuat bayaran bagi jumlah dinyatakan dalam tempoh tujuh hari (bermula) dari tarikh surat ini, sekiranya gagal, anak guam kami akan mengambil tindakan yang perlu,” kata firma guaman itu.
Pada 31 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Rafidah membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 kepada Datuk Haris dan syarikatnya.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohd. Johan Lee selepas membenarkan saman yang difailkan Haris, 48, dan syarikat Arisprop Holdings selaku plaintif pertama dan kedua.
Dalam penghakiman tersebut, hakim menegaskan bahawa hantaran yang dimuat naik Rafidah di media sosial merupakan satu bentuk fitnah.
Mahkamah turut menyatakan bahawa hantaran itu membawa maksud seolah-olah syarikat berkenaan mengambil kesempatan terhadap defendan dengan enggan membayar hasil kerjanya.
Sumber: Kosmo!