Malaysia Techlympics, inisiatif utama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), kini memasuki tahun keempat penganjurannya sejak diperkenalkan pada tahun 2022. Program ini merupakan usaha berterusan untuk membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan masyarakat, terutamanya murid, pelajar dan belia di seluruh negara.
Sejak dilancarkan, Malaysia Techlympics telah mencatatkan pencapaian luar biasa dengan purata hampir 1.4 juta penyertaan tahunan yang konsisten. Untuk tahun 2025, sebanyak 1.7 juta penyertaan telah berjaya direkodkan setakat 22 September 2025.
Pencapaian ini amat membanggakan dan selaras dengan hasrat kerajaan MADANI untuk menarik minat lebih ramai anak muda terhadap bidang STEM.
Matlamat utama program ini adalah untuk membentuk budaya STI yang holistik melalui kaedah pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning), aktiviti amali (hands-on), serta pertandingan yang interaktif dan inklusif.
Sejak tahun 2022, Malaysia Techlympics telah menjelajah lebih 50 lokasi di seluruh negara, bermula di Kedah sebagai zon pertama dan kemudian diperluas ke zon Tengah, Selatan, Timur, Sabah, dan Sarawak. Setiap siri kunjungan turut melibatkan sumbangan peralatan dan kit pendidikan, khususnya untuk sekolah di luar bandar.
Usaha ini turut merangkumi latihan dan bimbingan kepada guru-guru teknikal STEM negeri yang kini berperanan sebagai jurulatih utama untuk memperkasa rakan guru lain di daerah masing-masing. Kesannya, lebih ramai murid di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapat peluang untuk menyertai aktiviti STEM dan menerima bimbingan berkualiti daripada tenaga pengajar yang terlatih.
Secara langsung, penganjuran ini merupakan manifestasi inisiatif Kerajaan melalui MOSTI dalam mengurangkan jurang bandar-luar bandar dan memastikan generasi muda di seluruh negara mendapat akses saksama kepada teknologi dan inovasi.
Artikel berkaitan : “Melibatkan 8 ribu saintis dan sekolah” – Program STI 100³ MOSTI Raih 2 Pengiktirafan Malaysia Book of Records
Artikel berkaitan : Ramai Tak Faham Sistem UPU, Kenali Beza Aliran Asasi, Matriks dan STPM
Malaysia Techlympics Peringkat Zon Utara yang berlangsung selama dua hari ini telah berjaya menghimpunkan lebih daripada 3,000 peserta dan 180 sekolah dari Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak. Selaras dengan prinsip keterangkuman, program ini juga melaksanakan Program Jangkauan Keterangkuman (Outreach) bagi memastikan akses kepada pendidikan STEM dapat diperluas, terutamanya di kawasan luar bandar.
Lebih daripada 2,800 pelajar dan 200 guru dari Zon Utara telah terlibat dalam program ini melalui pelbagai latihan, termasuk Training of Trainers (ToT) secara fizikal dan dalam talian.
Sumber : MOSTI