Pemilik kafe yang tular kerana mempamerkan haiwan seperti alpaka, kambing, kucing dan beberapa jenis haiwan lain di premisnya menegaskan dia seorang pencinta haiwan dan bukan zalim seperti didakwa pengguna media sosial.
Dia yang merupakan seorang lelaki warga Singapura berusia 31 tahun itu berkata, alpaka jantan yang dipamerkan itu dibeli import dari Australia bersama seekor lagi alpaka betina yang disimpan di rumahnya.
Katanya, haiwan itu didakwa pandai menutup lampu menggunakan hidung selain memberi respon ketika dia sedang bercakap menggunakan telefon bimbit.
Artikel berkaitan: Tular Video Alpaka Dalam Kedai Makan, MBMB Tegas Haiwan Tak Boleh Dibawa Masuk Premis
Artikel berkaitan: Tak Sabar Betul, Gelagat Seorang Lelaki Beri Susu Pada Alpaka Buat Netizen Terhibur
“Saya faham ada yang marah, kononnya saya menzalimi alpaka ini.
“Sedangkan saya memang menyayangi haiwan itu termasuk kucing, malah membelinya dengan harga RM20,000 seekor, mana mungkin menganiayanya,” katanya.
Bagaimanapun, dia mengakui silapnya kerana mempamerkan haiwan di kedai makan, namun tidak akan berputus asa dalam perniagaan makanan walaupun dikenakan dua kompaun.
“Selepas ini saya akan perkemaskan semula permohonan mengikut undang-undang yang ditetapkan.
“Saya juga akur dengan arahkan penutupan dan akan segera memindahkan kesemua binatang tersebut ke tempat sepatutnya selain membersihkan kawasan restoran ini,” katanya.
Terdahulu, kafe yang terletak di Kampung Jawa, Melaka diserbu penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) susulan aduan orang ramai dan video tular seekor alpaka kelihatan murung dan beberapa haiwan lain dalam keadaan tidak terurus.
Susulan itu, pemilik premis dikenakan dua kompaun bernilai RM10,250 serta arahan tutup selama tujuh hari bagi melakukan kerja-kerja pembersihan.
Sumber: Sinar Harian