Fenomena La Niña Kembali Ke Malaysia, Ini Fakta Korang Kena Tahu

12 hours ago 6

Pernah tak korang perasan cuaca sekarang makin pelik, ada tempat hujan lebat sehinggakan berlakunya banjir, tapi ada juga kawasan lain panas terik membahang sangat.

Sebenarnya negara kita berada di fasa akhir Monsun Barat Daya, jadi tak pelik kalau kebanyakan kawasan sekarang alami lebih banyak cuaca yang kering dan panas. Tapi dalam masa yang sama, pakar menjangkakan satu fenomena iklim besar akan mula memberi kesan tak lama lagi, iaitu La Niña.

Pusat Iklim Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan berkata, tinjauan cuaca jangka panjang September 2025 hingga Februari 2026 menunjukkan majoriti model iklim antarabangsa meramalkan keadaan El-Nino Southern Oscillation (ENSO) kini neutral dengan kebarangkalian 56 peratus berterusan sehingga Oktober ini.

“Majoriti model iklim antarabangsa menunjukkan keadaan ENSO terkini adalah neutral dengan Indeks Nino Lautan (ONI) terkini di kawasan pemantauan Nino 3.4 bagi bulan Mei, Jun dan Julai 2025 adalah – 0.1 darjah Celcius,” katanya.

Katanya lagi, selepas tempoh tersebut, terdapat kemungkinan La Niña berlaku dalam tempoh singkat pada awal tahun depan sebelum pola cuaca kembali stabil.

Tapi fenomena La Niña ni apa sebenarnya?

La Niña

la nina

La Niña ialah satu fenomena iklim yang berlaku apabila suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik menjadi lebih sejuk daripada keadaan normal.

Pendinginan ini membuatkan angit pasat atau trade winds bertiup lebih kuat, lalu menolak air laut yang lebih panas ke arah Asia dan membawa air laut yang lebih sejuk naik ke permukaan di bahagian timur Pasifik. Proses ini seterusnya mengubah corak angin dan taburan hujan di pelbagai kawasan dunia, termasuklah rantau Asia Tenggara.

Menurut National Geographic, La Niña dianggap sebahagian daripada kitaran El Niño–Southern Oscillation (ENSO), iaitu fasa ‘sejuk’ yang berlawanan dengan El Niño sebagai fasa ‘panas’.

Fenomena ini biasanya berlaku secara berselang-seli setiap dua hingga tujuh tahun, kadangkala boleh terus muncul selepas berakhirnya fasa El Niño.

Dalam rekod cuaca, La Niña diukur menggunakan Indeks Nino Lautan (ONI), iaitu bila suhu permukaan laut di kawasan Pasifik timur-tengah turun sekurang-kurangnya 0.5 darjah Celsius di bawah paras normal untuk lima musim berturut-turut.

Menariknya tentang La Niña ni, nama ‘La Niña’ bermaksud anak perempuan dalam bahasa Sepanyol. Oleh itu, kadangkala fenomena ini juga dipanggil sebagai El Viejo (orang tua) atau anti-El Niño. 

Artikel Berkaitan: Hajiji Turun Padang Pastikan Bantuan Sampai Kepada Mangsa Bencana Sabah – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: Kementerian Kerja Raya Siapsiaga Hadapi Monsun Timur Laut Tak Lama Lagi – Lobak Merah

Apa beza La Niña dan El Niño?

el ninp

Kalau korang ingat, negara kita sebelum ni pun pernah dilanda El Niño. Fenomena ni sebenarnya berlaku bila suhu permukaan laut di bahagian tengah Lautan Pasifik jadi lebih panas daripada biasa.

Bila laut makin panas, ia ubah corak angin global dan kurangkan pembentukan awan hujan di rantau Asia Tenggara. Sebab tu masa El Niño berlaku, cuaca negara kita menjadi sangat panas yang terik dan kering, menyebabkan beberapa kawasan mengalami kemarau.

Berbeza dengan itu, La Niña ni pula berlaku bila suhu laut jadi lebih sejuk daripada normal. Kesan paling ketara yang kita bakal merasai adalah hujan turun lebih kerap, cuaca akan menjadi lebih lembap dan boleh menyebabkan berlakunya banjir.

Jadi kalau ikutkan waktu normal, angin pasat biasanya akan menolak air laut panas dari Amerika Selatan ke arah Asia, manakala air laut yang lebih sejuk akan naik dari dasar untuk menggantikannya semula. Proses ini dikenali sebagai upwelling.

Tapi bila El Niño atau La Niña datang, corak normal ini akan terganggu dan dari situlah muncul kesan cuaca yang lebih ekstrem.

Kesan La Niña 

hujan lebat 1

Kalau di peringkat global, kesannya memang pelbagai. Sebagai contoh, Amerika Utara boleh mengalami perbezaan ketara di antara kawasan utara dan selatan iaitu bahagian utara akan menerima hujan lebat, manakala selatan pula akan mengalami cuaca yang lebih panas dan kering. Namun, Australia dan sebahagian Asia Tenggara mengalami hujan yang lebih dari biasa.

Bagi negara kita, kesannya boleh terasa lebih dekat dengan kehidupan seharian kita. Hujan dijangka turun lebih kerap daripada kebiasaan, sekali gus meningkatkan risiko banjir terutamanya di kawasan rendah.

Risiko berlakunya banjir ini boleh menjejaskan ribuan penduduk dari segi keselamatan dan tempat tinggal, serta memberi kesan besar terhadap ekonomi setempat dan aktiviti harian.

Sektor pertanian adalah antara sektor yang paling terkesan. Sebagai contoh, tanaman padi memang bergantung pada bekalan air yang banyak, jadi hujan tambahan boleh bantu dari segi sumber air.

Tapi bila hujan terlalu berlebihan, sawah mudah ditenggelami air menyebabkan kerosakan tanaman, kelewatan untuk menuai dan kerugian besar kepada pesawah. Dalam jangka masa yang panjang, masalah tanah lembap berlebihan boleh menjejaskan kesuburan tanah dan hasil pertanian negara.

Selain padi dan tanaman, nelayan juga mungkin berdepan dengan cabaran yang sulit. Hujan lebat dan ribut lebih kerap ini boleh menjejaskan urusan mereka turun ke laut, sekali gus mengurangkan hasil tangkapan.

Infrastruktur seperti jalan raya, sistem perparitan dan empangan juga boleh mengalami kerosakan akibat banjir dan tanah runtuh. Semua ini secara langsung boleh memberi kesan kepada ekonomi dan kehidupan masyarakat negara kita.

Kesan La Niña ini turut dirasai oleh negara jiran kita seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam. Hal ini menunjukkan bahawa rantau Asia Tenggara secara keseluruhannya memang sensitif terhadap perubahan iklim yang dibawa oleh La Niña.

Jadi dalam menghadapi fenomena sebegini, langkah persediaan amat penting untuk kita semua. Pengurusan air yang lebih berkesan perlu diberi perhatian, termasuklah sistem saliran dan perparitan yang baik untuk mengurangkan banjir kilat.

Disarankan untuk semua orang lebih peka dengan ramalan cuaca dan mengambil langkah berjaga-jaga, sama ada dalam urusan harian, aktiviti luar, mahupun ketika merancang perjalanan. Dengan persediaan awal, risiko bencana boleh diminimumkan dan keselamatan bersama lebih terjamin.

Sumber: Berita Harian, NOAA, APTERR

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |